Kucing Kurap: Jeff Ooi Mohon Maaf Secara Terbuka

GEORGE TOWN, 1 Dis (Bernama) — Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menggunakan gelaran ‘kucing kurap’ kepada beberapa pegawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 16 Nov lepas.

Beliau membuat permohonan maaf itu pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang yang berlangsung di sini Ahad setelah digesa berbuat demikian oleh Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh semasa menyampaikan ucapan pada konvensyen itu.

Sejurus selepas Karpal Singh selesai berucap, Ooi tiba-tiba berdiri dan berkata beliau dengan ikhlas membuat permohonan maaf kerana telah melukakan hati beberapa pihak.

“Saya akan ikut apa sahaja yang diminta Karpal Singh, ‘the Lead Tiger said dan the Little Tiger will follow” (Bapak Harimau suruh, Anak Harimau ikut sajalah),” katanya.

Ooi kemudiannya bersalaman dengan Karpal Singh dan disambut dengan tepukan dan sorakan daripada 659 perwakilan yang hadir pada konvensyen bertemakan ‘Terus Meneraju, Mendakap Masa Depan’ itu.

Pada 24 Nov lepas, Ooi mengaku memberi label ‘kucing kurap’ kepada beberapa pegawai MPPP pada 16 Nov atas alasan kerana mereka tidak membawa perangkaan terkini mengenai kedudukan penjaja di Jelutong selain tidak berpuas hati apabila pegawai kanan yang sepatutnya hadir tiada dalam sesi lawatan itu.

“You are insulting me by sending a lower officer itu ‘kucing kurap’ (anda menghina saya dengan menghantar pegawai pangkat rendah itu ‘kucing kurap’)… kita nak selesaikan masalah tetapi pegawai kanan itu serah kepada seorang yang lebih junior dan mereka tidak boleh buat keputusan,” kata Ooi.

Terdahulu, Karpal Singh dalam ucapannya telah menggesa Ooi membuat permohonan maaf kerana gelaran ‘kucing kurap’ merupakan satu penghinaan.

“Kucing kurap itu suatu penghinaan, apa maknanya…seorang insan yang tidak berguna, saya rasa itu yang dimaksudkannya, mesti hormat dan tiada sesiapa pun yang boleh dipandang rendah,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.