KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan Fashion Valet dan proses pelaburan oleh Khazanah dan PNB bagi memastikan tiada unsur penyelewengan atau salah guna kuasa dalam pelaburan ini.
Presidennya , Jais Abdul Karim berkata, MCW melihat isu ini sebagai hal yang perlu dipandang serius kerana ia melibatkan dana awam dan pelaburan oleh institusi yang mewakili kepentingan rakyat, seperti Khazanah dan PNB.
“Pelaburan sebanyak RM47 juta yang hanya membawa pulangan sebanyak RM3.1 juta menimbulkan persoalan mengenai ketelusan, keberkesanan, dan pertimbangan risiko dalam membuat keputusan pelaburan.
“MCW percaya bahawa adalah penting untuk pihak berkuasa, terutama SPRM, menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan Fashion Valet dan proses pelaburan oleh Khazanah dan PNB bagi memastikan tiada unsur penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa dalam pelaburan ini,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Selain itu kata Jais, MCW juga mencadangkan supaya tadbir urus korporat dalam institusi pelaburan awam seperti Khazanah dan PNB ditingkatkan dengan memperkenalkan kawalan yang lebih ketat dan prosedur penilaian yang lebih teliti sebelum pelaburan besar diluluskan, terutama dalam sektor yang berisiko tinggi seperti e-dagang.
“MCW menekankan bahawa aspek akauntabiliti dan ketelusan perlu dipertingkatkan, termasuk pendedahan maklumat mengenai pelaburan dan prestasi pelaburan yang dilakukan oleh institusi ini.
“Sekiranya berlaku ketirisan atau pengabaian dalam proses membuat keputusan, tindakan perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab agar hal sebegini tidak berulang,” katanya.