Lebuhraya WISE alternatif penyuraian trafik, kurangkan kesesakan lalu lintas – KKR

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyokong pelaksanaan projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) sebagai laluan alternatif yang dijangka menjadi sebahagian solusi kepada masalah kesesakan trafik bagi jajaran Kuala Kangsar – Terowong Menora – Gopeng, Perak, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata demikian sempena sesi Penyerahan Dokumen Perjanjian Konsesi Projek Lebuhraya WISE di Aras Mezzanine, Menara Kerja Raya (Blok G), Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), dekat sini pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Hj. Ahmad Maslan;
Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Seri Azman Ibrahim, dan Pengarah Urusan East Coast Road Sdn. Bhd. (ECRSB), Any Arope Zainal Abidin.

Pada 5 September lalu, Azman bagi pihak Kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Konsesi Lebuhraya WISE bersama syarikat ECRSB.

Nata berkata, projek ini merupakan inisiatif penswastaan pembinaan lebuh raya bertol dari Kuala Kangsar ke Gopeng melalui Siputeh dan Batu Gajah di Perak dengan anggaran jajaran sepanjang 60.88 kilometer oleh syarikat ECRSB.

“Lebuhraya WISE tanpa sebarang komitmen kewangan daripada kerajaan yang menelan belanja kira-kira RM6.2 bilion itu, dijangka siap pada 2028, melibatkan enam persimpangan iaitu dua persimpangan di Kuala Kangsar, satu di Jerlun, satu di Siputeh dan dua lagi persimpangan di Gopeng.

“Jajaran lebuhraya ini kelak akan menjadi laluan alternatif kepada pengguna Terowong Menora yang sering menghadapi kesesakan yang disebabkan oleh bilangan kenderaan berat yang tinggi, ”katanya.

“Ini berdasarkan profil dan topografi berbukit di kawasan Gopeng – Kuala Kangsar, Lebuhraya PLUS yang memperlahankan pergerakan kenderaan berat yang memberikan kesan terhadap aliran trafik terutama di waktu puncak.

“Selain itu, Level of Service (LOS) semasa bagi Lebuhraya PLUS di seksyen Gopeng – Kuala Kangsar adalah pada tahap LOS D dan dijangka akan mencapai kapasiti penuh (LOS F) menjelang 2030, ”katanya lagi.

“Sekiranya projek WISE tidak dilaksanakan, KKR menjangkakan kerajaan perlu melaksanakan pelebaran Lebuhraya PLUS dan ini akan memberi implikasi kewangan yang tinggi.

“Kadar tol bagi Lebuhraya WISE ditetapkan pada kadar malar sebanyak 23 sen per km sepanjang tempoh konsesi selama 55 tahun termasuk empat tahun tempoh pembinaan, ”ujarnya.

“Kaedah penetapan kadar tol ini adalah unik kerana pertama kali dilaksanakan dalam negara dan ia pastinya memberikan manfaat kepada bakal pengguna lebuhraya kerana tiada kenaikan terhadap perbelanjaan rakyat untuk tempoh yang lama.

“Sinergi serta kolaborasi pelbagai pihak dalam pelaksanaan projek ini membuktikan kerjasama erat di antara pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Perak dan pihak swasta.

“Ianya memberi manfaat kepada industri lebuh raya, malah manfaatnya terus kepada rakyat terutama kepada pengguna jalan raya, ”ujarnya lagi.

“KKR berharap agar syarikat konsesi yang diberikan amanah melaksanakan tanggungjawab ini, akan memberikan penekanan kepada aspek kualiti terutamanya dari segi pematuhan spesifikasi piawai kos dan masa yang ditetapkan.

“Selain itu, mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tapak pembinaan di samping memelihara kelestarian alam sekitar di sepanjang jajarannya.

“KKR komited terhadap pelaksanaan projek infrastruktur berpaksikan Rakyat Madani seperti pembinaan lebuhraya ini dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan selaras dengan aspirasi program MYJalan KKR, ”tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat