Oleh Zihan Zari
BANGI – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri menjalankan siasatan berhubung insiden seorang pekerja warga asing maut selepas terjatuh akibat jatuh dari tempat tinggi di sebuah tapak pembinaan di Bandar Baru Bangi, dekat sini pada Selasa.
JKKP dalam kenyataan di sini memaklumkan, telah menerima maklumat berkaitan kemalangan tersebut dan telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu.
“Siasatan awal yang dijalankan, JKKP mendapati bahawa mangsa sedang menjalankan penyelenggaraan perancah dan ‘safety net’ sebelum jatuh dari tingkat 8 ke tingkat 5.
“Mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diangkat ke kawasan yang selamat.
“Pihak ambulans telah sampai pada jam lebih kurang 3.30 petang yang kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” kata kenyataan itu di sini pada Rabu.
“Susulan daripada siasatan tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian sehingga siasatan selesai.
“JKKP Selangor turut mengarahkan supaya majikan mengadakan siasatan dalaman dan mengemukakan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut, ”katanya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.
“Majikan bakal berdepan tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam,”ujarnya.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja.
“Selain itu, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.
“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,”ujarnya lagi.
Tambahnya, kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). – SUARA.TV