VIDEO: Bajet Alternatif: BN Cadang Kembalikan GST Pada Kadar 3%

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) hari ini membentangkan bajet alternatif yang dikenali sebagai ‘Pembentangan Inisiatif Ekonomi Rakyat’, dengan mencadangkan agar kerajaan mengembalikan semula cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mengisi kelompongan hasil pendapatan negara.

Menteri Kewangan Bayangan BN, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, cukai GST hanya dicadangkan pada kadar 3 peratus sahaja.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, kerajaan memerlukan cukai yang telus dan cekap seperti GST bagi mengelakkan wujudnya pihak mengambil kesempatan untuk tidak membayar cukai menerusi cukai sedia ada ketika ini.

“Cukai SST tidak berjaya menurunkan harga barangan, sebab itu untuk kita ada satu sistem percukaian yang telus dan cekap, kita cadang adakan semula GST tapi pada kadar 3 peratus berbanding 6 peratus.

“Jadi dari segi jumlah hasil kutipan, ia sama seperti SST cuma kita jangka kita akan dapat tingkatkan hasil daripada mereka yang mengelak untuk membayar cukai dalam SST.

“Secara peratusnya, jumlahnya sama seperti SST tapi dari ketirisan yang dapat dielak menerusi sistem GST, kita jangka kita dapat kutip banyak daripada SST dengan kadar yang rendah iaitu 3 peratus,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Bertemakan ‘Merancakkan Pembangunan, Meningkatkan Pengagihan, Kalis Masa Depan’, BN juga mencadangkan penstrukturan levi pekerja asing dalam usaha mengisi kelompongan pendapatan negara.

“Menaikkan kadar yang menusabah bagi sektor dan industri. Ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan masa yang sama tak terlalu menjejaskan kos majikan.

“Kita akan letakkan kadar ini berdasarkan sektor dan indutri supaya tidak membebankan industri tapi pada masa yang sama meningkatkan pendapatan kerajaan.

Selain itu, BN turut mencadangkan agar Caj Ringgit dikenakan ke atas kiriman wang ke luar negara oleh pekerja asing.

“Data rasmi menunjukkan RM34.75 bilion telah dikirim pekerja asing di negara ini pada 2015. Mengambil contoh pada kadar 6 peratus daripada jumlah kiriman, kerajaan boleh mengutip RM2 bilion melalui caj ini,” katanya.

Antara lain, BN turut memfokuskan kepada Cukai Soda, pada kadar RM0.25 bagi setiap liter, Cukai Karbon dengan mengenakan caj RM10 bagi setiap tan metrik kepada kilang industri yang mengeluarkan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 25,000 tan metrik.

Malah rakyat juga akan dikenakan Cukai Beg Plastik menerusi caj RM0.15 yang akan memberikan pulangan sebanyak RM12.46 bilion setahun kepada kerajaan.

Selain itu, Cukai Kekayaan juga akan diperkenalkan terhadap individu yang mempunyai harta terkumpul tahunan melebihi RM10 juta sama ada melalui gaji, elaun, hartanah atau hasil pelaburan.

“Juga BN akan memperkenalkan cukai Tobin yang dikenakan ke atas transaksi saham jangka masa pendek bagi mengawal spekulasi yang boleh memberi risiko ketidaktentuan pasaran saham.

“Penstrukturan Semula Cukai Pendapatan Individu ke atas banjaran sedia ada cukai pendapatan individu dengan pengenalan kategori pendapatan RM350,000 ke atas dan RM500,000 ke atas,” katanya lagi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.