PTPTN Kutip RM13.86 Bilion Bayaran Balik Pinjaman

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip RM13.86 bilion atau 68.62 peratus daripada 1.5 juta peminjam setakat ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata sehingga September 2018, seramai 2,963,345 peminjam telah diluluskan pinjaman PTPTN dengan jumlah pinjaman sebanyak RM54.37 bilion.

“Bagaimanapun, seramai 373,975 atau 19.65 peratus masih belum membuat bayaran balik pinjaman berjumlah RM2.74 bilion,” katanya ketika menjawab pertanyaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) berhubung jumlah peminjam dan jumlah pinjaman PTPTN sehingga Jun 2018 serta anggaran pinjaman PTPTN yang akan dikeluarkan kepada peminjam baru setiap tahun sehingga tahun 2023.

Menurut Teo, demi kesinambungan pinjaman kepada peminjam baharu, PTPTN telah menjalankan kajian holistik mengenai dasar baharu bayaran balik pinjaman PTPTN setelah mengambil kira dana peminjam baharu dan dalam masa yang sama menyesuaikannya dengan kemampuan bayaran balik oleh peminjam.

Hasil kajian itu, katanya, akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet untuk persetujuan.

Teo berkata bagi memastikan peminjam terus membayar pinjaman secara konsisten, PTPTN masih mengekalkan penyenaraian nama peminjam dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS) Bank Negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata peruntukan dana  yang diperlukan untuk tujuan pengeluaran pinjaman bagi pelajar baharu dan sedia ada bagi tahun 2019 hingga  2023 diunjurkan sebanyak RM15 bilion atau RM3 bilion setahun.

Setakat September 2018, PTPTN mengeluarkan sebanyak RM2.4 bilion untuk pembiayaan pelajar baharu dan lama, justeru, katanya, unjuran RM3 bilion setahun itu adalah munasabah.

Ketika menjawab soalan tambahan Akmal Nasrullah mengenai langkah kerajaan  memastikan  generasi mahasiswa yang dihasilkan nanti tidak terbeban dengan hutang pelajaran, Teo berkata kementerian menggalakkan ibu bapa merancang dengan menabung untuk pendidikan tinggi anak-anak dari awal.

“Untuk mengelak bebanan pinjaman yang tinggi, ibu bapa boleh melakukan perancangan awal kewangan dengan menabung dalam SSPN-i (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) yang disediakan PTPTN, skim ini merupakan inisiatif kerajaan dahulu, tapi kita rasa usaha ini bagus untuk menggalakkan ibu bapa membuat perancangan kewangan awal bagi pendidikan tinggi anak-anak,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan statistik, sejak skim berkenaan dilancarkan pada 2014, pengeluaran bagi simpanan SSPN-i berjumlah RM53 juta dan meningkat kepada RM210 juta sehingga September lalu.

“Dalam masa sama nampak penurunan dalam pinjaman PTPTN,  pada 2014 perbelanjaan peminjam baru ialah sebanyak RM3.9 bilion dan setakat September ini pengeluaran berjumlah RM2.449 bilion. Berlaku penurunan dalam pengeluaran pinjaman PTPTN dan pengeluaran SSPN-i meningkat, kita akan galakkan ibu bapa menyimpan bagi mengelakkan mereka bergantung kepada pinjaman,” jelasnya.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.