Polis Akan Siasat Dakwaan Justo

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti semua dakwaan bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo yang mengaku pernah dipaksa untuk membuat pengakuan secara terbuka bahawa Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri terbaik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau sedia maklum perkara itu dan memaklumkan ia mungkin ada kaitan dengan kenyataan yang diambil ketika beliau (Justo) berada di Bangkok ketika itu.

“Kita akan lihat dakwaan itu dan apa tujuan hal itu ditimbulkan oleh Justo.

“Polis akan perincikan perkara ini sebelum sebarang pengesahan dibuat,” katanya dalam sidang media selepas Seminar Pemantapan Integriti Bebas Rasuah Warga PDRM di Maktab PDRM, di sini, hari ini.

Pada 22 Jun 2015, Justo ditahan di rumahnya di Koh Samui, Thailand, selepas pegawai PetroSaudi memfailkan aduan bahawa Justo cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan dokumen yang dicuri daripada syarikat berkenaan.

Semalam, Justo memaklumkan ada pihak berkuasa Malaysia datang bertemunya sebelum ini di Bangkok dan antara mereka ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Kata Justo, dia terpaksa ‘mengaku’ bahawa dirinya mencuri serta memanipulasi data dan bekerja dengan seorang ahli politik pembangkang Malaysia dengan bantuan seorang wartawan selain perjanjian PetroSaudi-1MDB adalah sah dan adil, dan Mr Razak itu (Datuk Seri Najib Tun Razak) seorang yang baik. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.