Perintah Berkurung Untuk Remaja Di Kelantan?

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menyifatkan cadangan untuk menguatkuasakan perintah berkurung terhadap remaja di negeri ini bukanlah sesuatu bersifat menghukum atau mengurung mereka sebaliknya untuk mendidik golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Mumtaz Mohd Nawi berkata, cadangan itu bagaimanapun telah mendapat respons yang positif daripada pelbagai pihak.

Hampir semua mengatakan sokongan dan ada yang minta kerajaan negeri laksanakan perkara ini dalam waktu yang segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Saidatina Khadijah 2018 di sini, hari ini.

Mumtaz berkata, bagaimanapun, cadangan itu akan dikaji terlebih dahulu, dan melihat beberapa sudut agar tidak memberi kejutan kepada anak muda dan juga ibu bapa.

Beliau mendakwa banyak negara-negara Eropah yang telah melaksanakan perintah berkurung itu demi menyelesaikan masalah gejala sosial.

“Kita juga akan mengkaji beberapa undang-undang perintah berkurung di beberapa negara lain untuk disesuaikan dengan budaya negara kita,” katanya.

Pada sesi penggulungan ketika Belanjawan 2019 kerajaan negeri yang berakhir semalam, Mumtaz telah mencadangkan perkara itu  bagi mengatasi masalah gejala sosial di negeri ini.

Dalam perkembangan lain Mumtaz mengharapkan kerajaan pusat dapat memberikan jaminan untuk mengotakan janji mereka pada pilihan raya umum lalu ketika pembentangan belanjawan negara, esok.

“Memandangkan ada timbalan perdana menteri wanita pertama dalam kepimpinan kerajaan baharu ini , saya menjangkakan lebih banyak keutamaan akan diberi kepada golongan wanita,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.