Pendapatan Menteri Kerja Raya RM108,056 Sebulan

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Baru Bian mencatat pendapatan bulanan tertinggi dalam kalangan Ahli Parlimen dan pegawai pentadbiran kerajaan.

Berdasarkan portal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh diakses umum mulai hari ini, Ahli Parlimen Selangau itu menerima pendapatan sebanyak RM108,056 sebulan.

Seterusnya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula mencatat pendapatan berjumlah RM86,464.92 dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memiliki pendapatan sebanyak RM77,629.68.

Ia diikuti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan pendapatan sebanyak RM75,861.57; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (RM73,576.15); Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (RM72,276.37) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (RM69,186.48).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail pula berada di kedudukan ke-11 dengan pendapatan bulanan sebanyak RM59,048.33.

Selain itu, antara individu lain yang sudah mengisytiharkan harta mereka adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Manakala Ahli Parlimen yang masih belum berbuat demikian berdasarkan carian di portal berkenaan pada jam 6.30 petang tadi antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, ketika dihubungi berkata, jumlah yang dipaparkan itu adalah jumlah pendapatan yang diterima oleh Ahli Parlimen sahaja, dan tidak termasuk ahli keluarga.

Katanya, jumlah itu termasuk gaji, elaun tetap, pendapatan diterima daripada sewaan seperti bangunan dan tanah dan lain-lain pendapatan yang diterima secara bulanan seperti gaji ahli lembaga pengarah.

“SPRM hanya menyediakan platform untuk Ahli Parlimen, apa sahaja maklumat yang diterima daripada mereka kami siarkan di portal berkenaan.

“Maklumat mengenai aset pula tidak didedahkan sehingga SPRM menerima keputusan mengenai perkara itu daripada kerajaan, SPRM hanya melaksanakan, apa yang boleh atau tidak boleh ditunjukkan adalah diputuskan oleh kerajaan,” katanya.

Setakat jam 6.30 petang hari ini, seramai 81 Ahli Parlimen kerajaan sudah mengisytiharkan harta mereka sementara 44 masih belum berbuat demikian.

SPRM sebelum ini menunda dua kali pelancaran portal memaparkan aset diisytihar anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen PH yang boleh diakses umum itu, dengan tarikh akhir untuk berbuat demikian semalam.

Kerajaan PH sebelum ini mewajibkan menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen mewakili setiap parti dalam pakatan berkenaan, mengisytihar dan memperincikan harta masing-masing untuk membolehkan ia disiarkan melalui portal Perisytiharan Harta.

Melalui portal terbabit, orang ramai boleh memeriksa senarai aset dimiliki mereka seperti rumah, kereta, tanah, bangunan, perniagaan serta akaun bank.

Difahamkan, mengikut standard antarabangsa seperti dilakukan Kerajaan India dan Georgia, bukan sahaja menteri dan Ahli Parlimen, termasuk dari parti pembangkang diwajib mengisytihar harta, malah isteri, anak dan anggota keluarga mereka juga dikehendaki berbuat demikian. – BERITA HARIAN

One thought on “Pendapatan Menteri Kerja Raya RM108,056 Sebulan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.