Netizen dan Peminat Bola Sepak Lancar Kempen Gesa Presiden PAFA Letak Jawatan

IPOH – Kemarahan penyokong bola sepak bukan sahaja Perak malah seluruh negara masih membara terhadap Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, susulan caranya mengendali trofi Piala Malaysia yang mendapat kecaman ramai.

Walaupun sudah meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia melalui sidang media semalam dengan mengatakan tiada niat untuk menjatuhkan martabat dan keunggulan trofi itu, Hasnul terus dikecam malah digesa untuk meletak jawatan sebagai presiden PAFA.

Kini terdapat kempen di media sosial yang mendesak beliau meletak jawatan dengan tanda pagar #PresidenPafaSilaLetakJawatan #PresidenPafaOut.

Selain itu ada juga kempen meminta peminat bola sepak Perak supaya memboikot majlis perarakan piala itu di setiap daerah yang dirancang kerajaan negeri dan PAFA dalam masa terdekat.

Laman Facebook (FB) rasmi dan peribadi Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi negeri itu turut ‘diserang’ dengan pelbagai kecaman selain ajukan atau ‘troll’ daripada netizen.

Netizen turut mempersoal tindakan Hasnul yang membawa trofi itu berarak menaiki bas dua tingkat di sekitar Parit Buntar kelmarin yang gambarnya turut tular hingga menjadi bahan kutukan kerana kelihatan seperti tiada sambutan selain tiada pemain Perak yang menyertai perarakan itu.

Berita Berkaitan;-
Netizen Kecam Exco Perak Perlakukan Piala Malaysia Macam Hak Peribadi
Kontroversi Piala Malaysia Dicelah Kaki, Exco Perak Mohon Maaf

Bagaimanapun ada pihak termasuk bekas Timbalan Presiden PAFA dan pengurus Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya di status FB meminta semua penyokong Perak memaafkan Hasnul kerana beliau sudah memohon maaf.

“Salam… saya mohon kita semua penyokong Perak memaafkan YB@hasnul_zulkarnain. Beliau sudah pun memohon maaf. Kita maafkanlah beliau… kita semua manusia yang tidak maksum… Datuk Seri Puhat dan saya pun ada buat kesilapan masa kami menerajui PAFA.

“Let’s move on… banyak kerja yang pengurusan PAFA perlu buat untuk musim hadapan… kita berikan mereka ruang untuk persiapkan pasukan tahun hadapan.. insya-Allah.. wassalam..,” kata Shahrul.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen daripada Hasnul mengenai desakan supaya beliau meletak jawatan sebagai presiden PAFA tidak berjaya apabila beliau gagal dihubungi. – BH

One thought on “Netizen dan Peminat Bola Sepak Lancar Kempen Gesa Presiden PAFA Letak Jawatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.