Najib: Selain Minta Rakyat Berkorban, Esok Kerajaan Juga Akan Tuding Jari Pada Saya

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjangkakan beliau akan menjadi ‘sasaran’ sewaktu pembentangan Bajet 2019 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad esok (Jumaat).

Kata Najib, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir pasti akan menggunakan alasan hutang negara berjumlah RM 1 trillion, untuk menutup kelemahan mereka.

“Apabila pembentangan bajet 2019 dibuat esok di mana kerajaan akan meminta rakyat berkorban, saya jangka kerajaan Pakatan Harapan akan menuding jari kepada saya dan kerajaan BN terdahulu dengan menggunakan angka hutang RM1 trilion rekaan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Najib, kerajaan PH ketika ini sudah tersasar dari mencapai sasaran defisit 2.8 peratus yang ditetapkan melalui Bajet 2018. 

Katanya, ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan yang memaklumkan kepada Parlimen pada Selasa lalu bahawa kerajaan PH sudah meminjam RM87.5 bilion bagi tahun ini, sehingga September 2018.

“Sebagaimana dinyatakan melalui RMK11 yang disemak semula, kerajaan PH telah meningkatkan sasaran defisit sehingga tahun 2020 berbanding sasaran kerajaan terdahulu.

“Saya yakin defisit bajet bagi 2018 hingga 2020 akan lebih tinggi berikutan pemansuhan GST dan kerana ekonomi sudah bertambah lembab walaupun BN telah meninggalkan ekonomi yang kukuh dan berkembang kepada mereka. 

“Ekonomi yang lemah bermakna perolehan cukai kerajaan juga akan turut menyusut,” kata Najib selain turut menyertakan carta sejarah defisit dan unjuran yang dibuat beliau bagi defisit bajet bagi tahun 2009 hingga 2020.

Najib juga mempersoalkan bagaimana kerajaan PH mahu mengurangkan beban hutang apabila jurang defisit semakin tinggi, yang akan menyaksikan lebih banyak peminjaman dibuat, sekaligus meningkatkan hutang.

“Sebuah kerajaan akan mengalami defisit bajet apabila perbelanjaannya adalah lebih tinggi dari pendapatannya dan perlu meminjam untuk memenuhi jurang perbezaan. 

“Ini mengakibatkan peningkatan hutang kerajaan. Apabila defisit adalah tinggi, ini bermakna akan lebih banyak peminjaman dibuat, sekaligus meningkatkan hutang.

“Jadi, bagaimana kerajaan PH akan mengurangkan hutang negara jika mereka meminjam lebih banyak berikutan defisit yang lebih besar?,” soalnya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana kerajaan BN mengalami defisit tinggi pada 2009 dan 2010, namun akhirnya berjaya mengurangkan defisit bajet setiap tahun, malah berupaya meningkatkan jumlah bantuan yang disalurkan kepada rakyat setiap tahun, menambah projek-projek mesra rakyat selain mengurangkan cukai pendapatan dan korporat. 

“Dan kita tidak pernah meminta rakyat untuk berkorban.

“Bagi kerajaan PH pula, kita lihat mereka merancang untuk mengurangkan bantuan kepada rakyat, memansuhkan projek-projek rakyat, meningkatkan atau memperkenalkan cukai baharu dan rakyat diminta berkorban tetapi pada masa yang sama, defisit meningkat berbanding penurunan ketara bagi tempoh 9 tahun yang lalu. 

“Ini sangat aneh. Oleh itu, jalan mudah untuk PH ialah dengan menuding jari, tanpa mengambil kira fakta, kepada saya dan kerajaan BN terdahulu untuk menutup kelemahan mereka,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.