Kes MP Cabul Remaja Ke Pendakwa Raya

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan kes seorang Anggota Parlimen dari Perlis yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan 15 tahun akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata pihak polis telah mengambil keterangan Anggota Parlimen itu dua hari lepas.

“Kertas siasatan yang lengkap berhubung dakwaan cabul melibatkan Anggota Parlimen ini akan kita serahkan kepada pendakwa raya dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Seminar Pemantapan Integriti Bebas Rasuah Warga PDRM.

Baru-baru ini, media melaporkan Polis Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman telah merakamkan keterangan Anggota Parlimen dari Perlis itu selama enam jam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul seorang remaja perempuan di Perlis baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata pihaknya masih menunggu arahan daripada pendakwa raya berhubung kes pegawai khas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman yang merakam video melalui bawah skirt seorang petugas wanita di kedai cermin mata di Solaris Dutamas, pada 8 Sept lepas.

“Kita sudah serahkan kertas siasatan yang lengkap kepada pendakwa raya dan masih menunggu jawapan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 11 Sept lepas, polis telah menahan bekas pegawai Mohd Azis itu bagi membantu siasatan kes berkenaan selepas satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Ke­seksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.