KDN Serah Kepada Polis Siasat Kadir Jasin Atas Dakwaan Hina Sultan Kedah

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk A Kadir Jasin, selepas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menggesa wartawan veteran itu disiasat di bawah Akta Hasutan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman memberi jaminan tidak akan campur tangan dalam siasatan polis atau melindungi Kadir, jika beliau didapati melakukan kesalahan itu.

“Jika polis rasakan ada elemen salah laku yang dilakukan, biar polis buat siasatan. Kita di peringkat KDN, biar polis siasat,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Johari dilaporkan menggesa pihak berkuasa menyiasat Kadir di bawah Akta Hasutan, susulan artikel bertajuk “Selamat Bertakhta Al Aminul Amin” dalam blognya kelmarin yang didakwa secara tidak langsung boleh mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Mengulas dakwaan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo yang ahli perniagaan dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho mungkin dibunuh, Azis berkata, pihaknya tiada maklumat berhubung perkara itu.

“Saya tidak boleh komen tentang itu sebab kita masih mencari dia. Sama ada dia telah dibunuh atau tidak, saya tidak tahu, kita masih mencari statusnya.”

Azis berkata, pihaknya juga sedang menunggu Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tampil dengan maklumat berkaitan Jho Low.

“Tidak ada pula Hishammuddin datang ke pejabat kita atau maklumkan ke pejabat kita. Hishammuddin kata hendak bagi bantuan, tetapi setakat ini tidak ada, dia hanya bercakap kepada media.”

Pada 22 Oktober lalu, Hishammuddin dilaporkan berkata, Putrajaya tidak meminta bantuannya mencari Jho Low, sebaliknya beliau menawarkan diri membantu kerajaan atas kapasiti peribadi menggunakan hubungan terdahulunya dengan pemimpin China.

“Saya secara peribadi akan ke China untuk bawa balik Jho Low ke muka pengadilan. Kalau beliau masih berada di luar negara, kita rasa kes 1MDB ini tak selesai,” kata bekas menteri pertahanan itu. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.