Kadir Jasin Didesak Tarik Balik Artikel, Mohon Maaf Pada Sultan Kedah

SHAH ALAM – UMNO Sungai Petani mendesak Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A. Kadir Jasin untuk menarik balik artikel di blog beliau yang mempertikaikan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan insititusi diraja negeri ini.

Ketuanya, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak membuat satu laporan polis bagi mendesak satu siasatan menyeluruh terhadap Kadir, sekiranya beliau gagal berbuat demikian.

“Paling biadap apabila Kadir secara tidak langsung cuba memberikan gambaran buruk seolah-olah Sultan Kedah telah mengunakan kedudukan dan pengaruh Baginda untuk mengaut keuntungan.

“UMNO Bahagian Sungai Petani memandang serius akan perkara ini dan mendesak beliau untuk memadamkan keseluruhan artikel yang dimuatnaik di dalam laman blog beliau;

“Membuat satu kenyataan maaf secara terbuka kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan seluruh rakyat Kedah atas kata-kata berbaur hasutan dan dihinaan yang dilemparkan itu.

“Berjanji tidak akan mengulangi kenyataan biadap seumpama itu di masa hadapan,” kata Shahanim dalam satu kenyataan.

Ujarnya, apa yang paling dikesalkan, ini bukan kali pertama Kadir bersikap biadap dengan mempertikaikan perkara berkaitan institusi Raja.

“Ini bukan merupakan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan biadap seperti itu dilemparkan kepada Institusi Raja-Raja Melayu, sebelum ini beliau pernah mempertikaikan hak dan keistimewaan Yang Di Pertuan Agong.

“Sampai bilakah kenyataan biadap dan kurang ajar seperti ini harus dibiarkan atas nama hak kebebasan bersuara?,” katanya lagi.

Kadir menerusi posting terbaru di blog beliau baru-baru ini menulis mengenai istiadat pertabalan Sultan Kedah, dengan menekankan betapa pentingnya peranan seorang raja terhadap rakyat, sambil memetik bait-bait lagu negeri Kedah dan lagu kebangsaan. 

“Lagu rasmi (Kedah) itu dengan jelas menyatakan tempat raja adalah di atas takhta dan tanggungjawab raja adalah memelihara Islam “agama Nabi kita”.

“Ia tidak kata, ‘berpanjangan usia di bilik lembaga’ dan ‘pelihara konglomerat niaga baginda’

“Rangkap penyudah lagu kebangsaan negara kita pun mengingatkan hal yang sama.

“Rahmat bahagia…Tuhan kurniakan…Raja kita…Selamat bertakhta.”

“Ia tidak kata, raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara,” tulis Kadir.

Terdahulu hari ini, seorang pemimpin PKR yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menggesa pihak polis menyiasat Kadir di bawah Akta Hasutan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.