Kadir Jasin Diberi Tempoh 48 Jam Untuk Mohon Maaf Pada Sultan Kedah

ALOR SETAR – Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A. Kadir Jasin digesa untuk membuat permohonan maaf kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan insititusi diraja negeri dalam tempoh 48 jam. 

Gesaan itu disuarakan UMNO Kedah, susulan tindakan Kadir yang disifatkan sebagai biadab berhubung tulisan di laman blognya baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Suraya Yaacob berkata, pihaknya tidak boleh menerima tindakan Kadir yang membangkitkan soal perbelanjaan Sultan Kedah, seolah-olah memberi gambaran bahawa Sultan Kedah seorang yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakan kedudukan baginda.

“Semua itu menimbulkan tanda tanya. Beliau dalam pada itu turut menulis ‘raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara’ di mana perbuatan itu seolah-olah memomokkan institusi kesultanan diraja Kedah dengan unsur negatif berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tindakan itu tambah beliau menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar di sebalik penulisan tersebut.

“Beliau juga dilihat sengaja ‘menjolok’ di perenggan akhir kononnya segala perbelanjaan Raja-Raja Melayu di negara ini perlu didedahkan kepada rakyat menerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bagi kami tindakan Kadir mengaitkan perkara-perkara tersebut menggambarkan kebiadaban beliau yang cenderung menghasut ke arah penderhakaan,” katanya.

Tindakan Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri itu juga disifatkan Suraya sebagai telah memalukan seluruh rakyat negeri ini dan tidak wajar dijadikan tauladan.

“Disebabkan itu kami mendesak beliau supaya memohon ampun daripada Sultan Sallehuddin dan institusi diraja Kedah atau kami akan membuat laporan polis terhadapnya,” katanya.

Kadir menerusi posting terbaru di blog beliau baru-baru ini menulis mengenai istiadat pertabalan Sultan Kedah, dengan menekankan betapa pentingnya peranan seorang raja terhadap rakyat, sambil memetik bait-bait lagu negeri Kedah dan lagu kebangsaan. 

“Lagu rasmi (Kedah) itu dengan jelas menyatakan tempat raja adalah di atas takhta dan tanggungjawab raja adalah memelihara Islam “agama Nabi kita”.

“Ia tidak kata, ‘berpanjangan usia di bilik lembaga’ dan ‘pelihara konglomerat niaga baginda’

“Rangkap penyudah lagu kebangsaan negara kita pun mengingatkan hal yang sama.

“Rahmat bahagia..Tuhan kurniakan..Raja kita…Selamat bertakhta.”

“Ia tidak kata, raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara,” tulis Kadir.

Terdahulu hari ini, seorang pemimpin PKR yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menggesa pihak polis menyiasat Kadir di bawah Akta Hasutan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.