Amanah Pertikai PH Dijadikan ‘Kem Pelarian’ Ahli Parlimen Lompat Parti

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bukan ‘kem pelarian’ bagi mana-mana Ahli Parlimen mendapatkan ‘perlindungan’.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub, berkata PH perlu memperincikan sebab dan tujuan seseorang Ahli Parlimen yang mahu menyertai PH.

“PH tidak harus sewenang-wenangnya menerima kemasukan pemimpin yang melompat parti hanya atas dasar personaliti dan kepentingan peribadi semata-mata.

“Semua itu harus kita cermati kerana saya tidak mahu PH menjadi tempat perlindungan ‘pelarian politik’,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, PH mesti bertegas mempertahankan prinsip yang menjadi pegangan parti.

“Kita akan bincangkan semua isu ini dalam mesyuarat majlis Presiden PH minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS antara parti terawal mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mewujudkan akta menyekat Ahli Parlimen daripada melompat parti.

“Tindakan lompat parti ni menyebabkan berlakunya dua pengkhianatan. Pertama, dia khianat parti yang memilih dirinya dan kedua, rakyat yang memilih parti terbabit.

“Sudah menjadi budaya, mana-mana parti memerintah orang akan melompat masuk parti itu.

“Kita bimbang akan berlaku isu pembersihan sebab bila lompat parti, fail pemimpin itu akan kembali bersih,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.