40 NGO Bentuk Gagasan Tiga (G3), Blok Baru Untuk Pertahan Agama Islam, Melayu dan Institusi Raja

SHAH ALAM – Kira-kira 40 NGO bersepakat untuk membentuk sebuah gabungan yang dinamakan Gagasan Tiga (G3), yang bertujuan menyatukan seluruh masyarakat Melayu dalam menghadapi ancaman terhadap agama Islam, Institusi Diraja serta hak-hak orang Melayu mutakhir ini.

Pembentukan G3 diputuskan dalam satu pertemuan ‘bersejarah’ yang dihadiri pemimpin-pemimpin NGO serta aktivis masyarakat di Kampung Pandan Indah, semalam.

G3 dibentuk atas satu keperluan yang mendesak bertujuan untuk mengekang pelbagai perkara negatif yang timbul ekoran kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangani isu melibatkan tiga perkara utama tersebut.

Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah, mereka bersepakat melantik Ketua Gerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy sebagai Pengerusi G3, manakala Presiden Consent Malaysia, Amran Ahmad Nor dilantik sebagai Timbalan Pengerusi G3.

Mesyuarat G3 yang julung kali diadakan itu juga menetapkan empat bidang utama yang memerlukan perhatian dan tindakan segera iaitu; memelihara kesucian agama Islam, memupuk perpaduan Melayu, memperkasa keunggulan Institusi Raja-Raja dan menjaga kebajikan ummah.

G3 dijangka akan membuat pengumuman rasmi serta menyatakan misi dan objektif mereka kepada umum dalam waktu yang terdekat. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.