Telefon Bimbit Tiruan, Jual Harga ‘Original’

KLANG – Mencari untung atas angin dengan menipu pengguna kononnya menjual telefon bimbit ‘original’.

Taktik itu telah dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor dalam serbuan di tiga buah premis di pusat beli-belah dekat sini, Khamis lalu, petik Sinar.

Pegawai Penguatkuasa Kanan KPDNKK Selangor, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, operasi kira-kira jam 12 tengah hari itu dijalankan hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan merampas 11 buah telefon bimbit berjenama Samsung yang dianggarkan bernilai RM5,946.

“Kita merakamkan keterangan pekerja premis bagi membantu siasatan.

“Apa yang kita kesan adalah premis terbabit disyaki menjual telefon bimbit tiruan sama seperti harga ‘original’ bagi mengaburkan mata pembeli,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati barangan terbabit dipercayai dibawa masuk dari negara jiran, sebelum dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik dan dalang terbabit.

Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.