‘SKMM Temui Sumber Kebocoran Data, Akan Selesai Siasatan’

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah mengenal pasti sumber-sumber yang mungkin menjadi punca kebocoran data peribadi jutaan rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menteri komunikasi multimedia itu berkata, siasatan SKMM dan polis berhubung perkara itu juga akan diselesaikan secepat mungkin.

“SKMM telah mengadakan perbincangan berhubung perkara ini dengan semua syarikat komunikasi. Perkara ini sedang disiasat SKMM dan polis.

“Bagaimanapun kita telah kenal pasti daripada sumber-sumber mana kemungkinan kebocoran maklumat ini berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Pada bulan lalu, laman Lowyat.net menyiarkan artikel berhubung kecurian data berhubung maklumat peribadi besar-besaran untuk dijual, melibatkan 50 juta data daripada syarikat telekomunikasi dan 17 juta data daripada laman mencari kerja.

Antara data milik syarikat telekomunikasi yang bocor itu adalah nama pelanggan, alamat bil, nombor telefon bimbit, nombor kad sim, model telefon bimbit dan nombor MyKad pelanggan.

Pengasas Lowyat.net Vijandren Ramadass sebelum ini dilaporkan mendakwa artikel itu disiarkan selepas pihak berkuasa tidak memberi maklum balas berhubung kerara itu.

 

Dua jam selepas artikel itu disiarkan, SKMM mengarahkan laman itu untuk memadamkan artikel tersebut. Ia kembali diterbitkan sehari kemudian.

Ketika perbahasan Dewan Rakyat beberapa hari lalu, Salleh berkata arahan SKMM itu berpunca daripada salah faham dengan Lowyat.net.

“Memang ada sedikit salah komunikasi antara SKMM dan Lowyat dalam hal ini yang mana telah diselesaikan dengan baik,” katanya lagi.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.