Jamal Buka Cawangan Kedua Restoran Makanan Percuma

SABAK BERNAM ― Datuk Seri Jamal Md Yunos bukan sahaja glamor dengan gimik politik, sesekali panas, tetapi kini meluaskan program makanan percuma.

Untuk pembukaan cawangan kedua di Sekinchan, ketua Umno itu dengan bantuan keluarga memasak lauk-pauk tengah hari untuk diberi percuma kepada penduduk kampung.

“Saya memang suka memasak dan hobi saya adalah memasak. Saya sendiri cari 40 ekor ayam dan masak sendiri lauk kari ayam hasil resipi saya,” katanya.

Beliau berucap semasa merasmikan Restoran Jamuan Rakyat minggu lalu di resort miliknya Sekin Hotel & Resort di sini yang pernah disita Disember lalu.

Bersama Gabungan NGO 1Malaysia, atau kumpulan Baju Merah, cawangan ini dibuka selepas restoran pertama di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, mendapat sambutan menggalakkan.

Berkonsepkan “makan sampai kenyang” dan “cuci pinggan sendiri”, hidangan yang disediakan termasuklah nasi, ikan berlada, kari ayam, sayur campur, sambal belacan dan teh O.

Setiap Isnin hingga Jumaat, orang ramai boleh menjamu selera antara 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang atau sehingga masakan untuk 600 orang sehari habis.

“Rakyat Malaysia kecuali warga asing tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik boleh datang. Orang DAP, PKR, dan PAS pun boleh datang, kami tidak kisah.

“Kalau [Datuk Seri] Azmin Ali datang, lalu nak singgah makan sekali pun kami alu-alukan,” katanya, menyebut menteri besar Selangor yang sering menjadi sasaran kecamannya.

“[Wakil rakyat Sekinchan] YB Ng Suee Lim kalau nak datang, sila beritahu, tiada masalah. Saya akan masak. Boleh tengok sendiri kehebatan saya memasak.”

Untuk menjayakan projek tersebut, Jamal mengalu-alukan sumbangan bahan makanan seperti beras, minyak masak, gula, sayur dan ikan.

“Ini konsep sedekah yang telah mendapat sambutan orang ramai dan rakan-rakan NGO yang menyumbang untuk program ini,” katanya, yang mendapat sokongan lebih 20 NGO.

Tambahnya, projek makanan percuma di cawangan Kuala Lumpur terus mendapat sambutan hingga terpaksa menambah sehingga 280kg beras daripada 100kg sehari.

“Pada mulanya kami anggarkan 1,000 orang tetapi hari demi hari kami memasak 280 kilogram beras sehari iaitu lebih kurang untuk 3,000 orang,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.