Empat Langkah Tangani Kebejatan Sosial – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggariskan empat langkah ke hadapan bagi membendung gejala sosial termasuk usaha menubuhkan Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi.

Selain itu, katanya Institut Kajian Etnik, KITA-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dinaik taraf.

Beliau berkata kedua-dua entiti itu akan memainkan peranan besar dalam mengkaji dan menilai keberkesanan dasar dan program kerajaan serta menyelaras pendidikan sosio ekonomi negara.

“Kita kena komited dan tidak boleh menoleh ke belakang dalam menangani kebejatan sosial di negara ini.

“Kita mesti mempertingkatkan pendidikan agama tanpa mengira agama kerana tiada agama mengajar ke arah kemusnahan sebaliknya mewujudkan pembangunan sahsiah, “ katanya pada sesi Town Hall (sesi dialog) Majlis Sosial Negara ‘Menangani Kebejatan Sosial Cegah Sebelum Parah’ di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata langkah ke hadapan yang lain termasuk meningkatkan pendidikan agama, memperkasakan institusi keluarga dan masyarakat dan penerapan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

“Kita berharap ibu bapa menerapkan nilai-nilai agama masing-masing dalam diri anak. Ibu bapa yang terdidik dengan agama pasti akan mendidik anak-anak taat kepada agama,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata usaha bersepadu perlu diambil untuk memastikan pelajar-pelajar di negara ini bebas daripada isu buli.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 2,322 kes buli dilaporkan sejak 2012 hingga Jun tahun ini.

“Kerajaan tidak akan tutup mata dan minda dalam menangani masalah buli. Ini adalah komitmen peribadi saya bagi memastikan permasalahan ini dapat diselesaikan,” katanya.

Dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah, Ahmad Zahid berkata kerjasama semua pihak perlu diperkasakan bagi memastikan isu tersebut dapat dibanteras.

“Gejala dadah masih berlaku dan ini tidak boleh diletakkan pada bahu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau satu pihak semata-mata malah ia perlu digalas semua pihak,” katanya.

Beliau berkata jumlah penagih yang dikesan pada tahun lepas ialah 30,844 di mana 22,903 kes baharu dilaporkan pada tahun lepas manakala 7,921 merupakan kes berulang.

Ahmad Zahid berkata sesi dialog hari ini ini merupakan manifestasi yang jelas bagi memenuhi aspirasi penglibatan masyarakat dalam pembentukan persekitaran sosial yang lebih harmoni.

Beliau berkata segala pandangan, idea dan kritikan berkaitan masalah sosial akan diserahkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan akan dibentangkan pada sesi dialog 2.0 dalam tempoh 90 hari akan datang. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.