‘Datuk Seri’ Pukul RELA Positif Dadah, Kata Polis

‘Datuk Seri’ yang didakwa memukul tiga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) didapati positif dadah ketika menyerah diri kepada polis 30 Oktober lalu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

New Straits Times hari ini memetiknya sebagai berkata, lelaki berusia 29 tahun itu juga didapati mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah.

“Ujian urin menunjukkan dia positif dadah,” katanya lagi.

Menurut laporan itu lagi, Noor Rashid juga berkata polis masih menyiasat sama ada suspek di bawah pengaruh dadah ketika didakwa menyerang tiga anggota Rela itu Jumaat lalu.

Suspek menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang. Kes tersebut mendapat perhatian banyak pihak, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menggesanya untuk menyerah diri.

Semalam, dia direman empat hari bagi memboleh siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan bagi tuduhan menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan bagi tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Dia turut dituduh menawarkan RM10,000 kepada ketiga-tiga anggota Rela itu dengan syarat menarik balik laporan polis yang dibuat.

 

Berhubung dakwaan suspek memiliki senjata api, Noor Rashid berkata siasatan setakat ini belum menemuinya tetapi menjamin tindakan akan diambil jika dakwaan itu betul.

Kira-kira jam 6.30 pagi Jumaat lalu, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, dikatakan dipukul suspek ketika bertugas di sebuah tokong di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selepas memintanya mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire miliknya kerana menghalang lalu lintas.

Kejadian tersebut dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan polis dibuat di Balai Polis Ampang.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.