Abdul Hadi Yang Mesti Bertaubat, Kata Mahathir

KUALA LUMPUR – Kalau sebelum ini, Presiden Pas meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad bertaubat hari ini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membalas gesaan itu dengan menyuruh Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga bertaubat.

“Hadi suruh saya bertaubat. Sebenarnya yang mesti bertaubat ialah Hadi sendiri,” kata  Mahathir menerusi catatan terbaharunya dalam Chedet.cc.

Menurut mantan Perdana Menteri itu dalam tulisannya, Abdul Hadi telah mengkafirkan orang Islam di negara ini, sedangkan Allah melarang perbuatan itu dan (Allah) berjanji sesiapa yang mengkafirkan orang Islam, kafir itu akan kembali kepada mereka.

Katanya, inilah yang terjadi kepada Abdul Hadi dan Pas apabila bekerjasama dengan DAP (suatu ketika dahulu).

Beliau menjelaskan, kerana Abdul Hadi mengkafirkan pemerintahan Malaysia dalam ‘amanatnya’, maka empat anggota polis dibunuh oleh pengikut Ibrahim Libya kerana percaya mereka sedang berjihad dan mati mereka apabila diserang balas oleh pihak berkuasa adalah mati syahid.

“Apa hak Hadi dan apa hak Pas mengkafirkan orang yang tidak menyertai parti mereka. Di mana dalam al-Quran atau Hadis yang berkata hanya dengan menjadi ahli Pas sahaja barulah seseorang itu beragama Islam.

“Apakah 1.7 billion orang Islam di seluruh dunia bukan Islam kerana mereka tidak masuk parti Pas?,” soal beliau.

Kata Mahathir, perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu Islam di Malaysia amat mendalam, walaupun ada yang menafikan keislaman ibu bapa mereka.

“Ada antara orang Pas yang menidakkan keislaman isteri, yang berkahwin sekali lagi. Ada yang sembahyang berasingan dengan imam lain, yang tidak sanggup dikebumikan di kubur biasa kerana kononnya kubur itu kubur orang kafir.

“Ada yang bangun (bina) masjid berasingan sehingga sekarang ini pun. Inilah hasil ‘Amanat Hadi’. Ia adalah satu dosa besar. Kerana ini sahaja pun ia perlu bertaubat,” katanya yang menjelaskan, Allah tegah perbuatan kerosakan.

Menurut Mahathir lagi, Abdul Hadi banyak melakukan kerosakan terhadap agama Islam dan orang Islam di negara ini sehingga perpecahan yang disebabkan Ahli Parlimen Marang itu telah melemahkan orang Islam.

“Saya sedar ramai pengikut Hadi telah bai’ah kepadanya. Mereka taksub kepadanya sehingga ajaran al-Quran dan Hadis yang sahih pun diketepikan. Mereka sudah jadi puak assabiah yang terima sahaja apa yang didakwa oleh Hadi tanpa soal.

“Sekarang Hadi sedang mempertahankan rasuah dan seleweng wang oleh Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak), sekali gus Hadi berusaha untuk memberi kemenangan kepada Najib dan UMNO walaupun di masa yang sama Pas akan kalah.

“Pas bersendirian tidak pernah menang, selain dari peringkat negeri. Di peringkat pusat Pas hanya mampu jadi rakan kecil di antara pembangkang.

“Tetapi Pas akan terus peralatkan Islam. Tuntutan terhadap hudud Pas sudah digugurkan. Sekarang kononnya, Pas akan bawa usul RUU 355. Berkali-kali usul ini ditangguh. Tetapi Pas masih mengguna usul ini untuk menarik sokongan politik bagi dirinya,” ujar beliau.

Pada 20 Oktober lalu, Abdul Hadi mahu Mahathir bertaubat kerana mendakwa bekas perdana menteri itu menjadi punca sistem negara rosak sejak sekian lama.

Abdul Hadi menyifatkan pemimpin pembangkang dalam Pakatan Harapan yang kini menyokong Mahathir umpama membenarkan segala kerosakan yang dilakukan sebelum ini, di mana hak dan kuasa raja dilemahkan dan memerintah secara diktator. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.