Azizah, Azmin Temu George Soros Minta Sumbangan Pilihan Raya

KUALA LUMPUR – Kerjasama parti politik pembangkang bersama hartawan George Soros sudah bermula sejak sekian lama, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR, Lokman Noor Adam.

 

Menurut Lokman, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pernah mengadakan pertemuan dengan Soros pada 2003 bagi mendapatkan dana kegunaan Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.

 

Ujarnya, didalam Mesyuarat Biro Pilihan Raya PKR, Azmin mengesahkan sebanyak RM3 juta diterima parti untuk kegunaan membeli barangan kegunaan pilihan raya.

 

Pertemuan yang berlangsung di Washington DC itu turut dihadiri bekas Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khalid Jaafar; dan Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong.

 

“Apabila saya tanya dengan Mohamad Ezam Mohd Nor (bekas setiausaha politik Anwar) masa itu, beliau memaklumkan bahawa dana itu datangnya dari Soros.

 

“Jadi untuk PKR, mereka ini telah dibiayai oleh Soros bukan satu perkara baru… sejak 2004 sepengetahuan saya. Yang saya tak tahu mungkin awal daripada itu, saya tak pasti,” katanya dipetik Bernama.

 

Lokman yang juga Ahli Panel Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang mengulas mengenai pendedahan DC Leaks mendakwa beberapa oraganisasi tempatan menerima dana dari Soros menegaskan dirinya tidak terkejut dengan perkhabaran berkenaan.

 

“Saya tidak terkejut kerana saya sudah dedahkan PKR dan  Malaysiakini (terima dana) pada 2004. Hanya Bersih dan Merdeka Centre penerima baharu (dana ini), selepas 2010,” katanya.

 

Bekas Ketua Angkatan Pemuda PKR itu juga mendakwa, PKR juga menerima dana daripada Soros untuk program-program latihan dan kursus kelola Institut Kajian Dasar parti.

 

“Selain itu juga kita sedia maklum Bersih telah mengesahkan mereka menerima dana daripada NDI (National Democratic Institut). NDI terima duit daripada NED (National Endowment for Democracy). Belakang NED ialah Soros,” katanya.

 

Beliau dalam pada itu percaya Soros akan pertingkatkan untuk menggagalkan usaha Malaysia menjalin hubungan dengan China yang disifatkan beliau semakin erat.

 

“Mereka nampak benda ini melalui kerjasama ekonomi, pengambilalihan Edra Energy, milik 1MDB dan penjualan 24 peratus ekuiti Bandar Malaysia kepada syarikat dari China.

 

“Saya nampak Amerika Syarikat cukup bimbang sekiranya Malaysia turut mengambil pendirian yang sama seperti presiden Filipina untuk memutuskan hubungan dengan Amerika dan merapatkan hubungan dengan China,” katanya.

 

Ujarnya lagi, kaedah mengawal daripada berlaku campurtangan asing adalah untuk menguatkuasakan akta mengawal dana politik.

 

“Jadi dalam nak mengekang dana asing ini bagi saya ‘simple’ sahaja. Sekarang kita dah tubuh satu jawatankuasa untuk mengkaji tentang akta yang akan kita wujudkan bagi mengawal dana-dana politik ini.

 

“Saya merasakan kali ini kerajaan kena bertekad walaupun pembangkang tidak bersetuju. Suka tak suka demi menjaga kedaulatan negara, kita kena pastikan bahawa undang-undang ini dikuatkuasakan,” kata beliau. – Malaysian Digest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.