Tiga Pasangan Suami Isteri Terima Ijazah Serentak

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga pasangan suami isteri termasuk yang masih dalam pantang dan hamil lapan bulan menerima ijazah masing-masing pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-43.

 

 

Mereka termasuk Dr. Sabrizan Osman, 34, yang menerima Ijazah Kepakaran Doktor Kesihatan Masyarakat dengan isterinya, Dr. Nabihah Shamsuddin, 34, yang menerima Ijazah Sarjana Kepakaran Keluarga.

 

 

Sabrizan memberitahu, beliau dan isteri yang kini dalam tempoh berpantang anak ketiga, saling memberi sokongan antara satu sama lain untuk melanjutkan pelajaran.

 

 

Katanya, dalam proses mendapat kejayaan, banyak pengorbanan terpaksa dilakukan termasuk kurang memberi tumpuan terhadap anak-anak, namun itu bukan penghalang.

 

 

“Menjelang peperiksaan, kami akan bergilir-gilir mengasuh anak-anak dan saling memberi sokongan supaya dapat lulus dengan cemerlang,” katanya yang memiliki tiga cahaya mata kepada Mingguan Malaysia.

 

 

Sementara itu, satu lagi pasangan, Akmalulhakeem Nor Hashim, 29, dan isteri, Sharifah Nur Eli Diana Syed Ismail, 30, kedua-duanya menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

 

 

Sharifah Nur Eli Diana memberitahu, kehamilan beliau yang kini memasuki lapan bulan merupakan satu rahmat kepada dirinya dan suami sehingga berjaya menamatkan pengajian sarjana.

 

 

Katanya yang kini bekerja di Sobena Offshore Sdn. Bhd., perjalanan hidup mereka berjalan lancar selepas mendirikan rumah tangga pada 2013.

 

 

“Selepas mendirikan perkahwinan, kami berdua memang berniat untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang seterusnya. Keinginan untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah tetap ada,” ujarnya.

 

 

Bagi pasangan Dr. Mazhar Mohd. Su’ud, 42, dan isteri, Dr. Siti Baizura Abd. Aziz, 34, kedua-duanya berasal dari Batu Pahat, Johor menerima Ijazah Sarjana Sains Kesihatan Masyarakat (Kesihatan Pekerjaan) dan Ijazah Doktor Pakar Radiologi.

 

 

Siti Baizura memberitahu, suaminya banyak bertolak ansur sewaktu dia mengejar cita-cita.

 

 

Katanya yang kini terpaksa menjalin hubungan jarak jauh berikutan terpaksa bertugas di Hospital Batu Pahat manakala suaminya di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, keadaan itu bukan satu penghalang kepada mereka untuk membina keluarga.

 

 

“Pengorbanan yang dilakukan saya dan suami dalam tempoh empat tahun lalu amat berbaloi. Apa yang penting, setiap pasangan yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi perlu pandai mengatur masa, bertolak ansur dan merancang keluarga sebaik-baiknya,” ujarnya.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.