Pesawat Nahas : Kotak Hitam Rusia Ditemui

KAHERAH – MESIR. Kotak hitam pesawat Rusia, Kogalymavia 9268 (KGL-9268) yang terhempas di kawasan pergunungan terpencil Mesir di Semenanjung Sinai, semalam, berjaya ditemui pasukan penyelamat wilayah itu.

 

 

Memetik laporan The Telegraph,kotak hitam tersebut dihantar kepada pakar untuk dianalisa selepas penemuannya di bahagian ekor pesawat itu.

 

 

Pejabat Perdana Menteri Mesir memberi kenyataan, bahawa pasukan penyelamat berjaya memindahkan 129 mayat dari lokasi nahas untuk dibawa ke rumah mayat di Kaherah.

 

 

Sebelum ini, pesawat yang membawa 217 penumpang dan tujuh anak kapal itu terhempas 20 minit sesudah berlepas dari pusat peranginan terkenal di Laut Merah, Sharm el-Sheikh, Mesir ke St Petersburg, Rusia.

 

 

Sebelum terhempas, pesawat tersebut dilaporkan hilang dari radar di ruang udara Cyprus.

 

 

Susulan daripada itu, Perdana Menteri Mesir, Sherif Ismail yang melawat tempat kejadian memaklumkan, peluang untuk menemui mangsa yang terselamat adalah tipis dan pihak berkuasa masih lagi menyiasat punca sebenar nahas tersebut.

 

 

Terdahulu, kumpulan militan IS mendakwa bahawa pihaknya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.

 

 

Bagaimanapun kenyataan tersebut disanggah perdana menteri Mesir dengan mengatakan bahawa pesawat tersebut tidak boleh dijatuhkan dalam mana-mana ketinggian.

 

 

Sementara itu, Menteri Penerbangan Awam, Mesir Hossam Kamal berkata, pihaknya tidak menolak berlaku permasalahan dalam penerbangan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.