Warga Emas Harap Simpati Menantu

Sungai Jarom – Lokmah yang tinggal menyewa di Taman Melati Sungai Jarom menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi terpaksa berehat di rumah selepas terkena angin ahmar.

“Saya tak tahu nak minta bantuan siapa kecuali menagih simpati menantu yang bekerja sebagai tukang cuci pinggan,”  demikian luahan seorang warga emas L Lokmah, 70, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Jarum semalam.

Menurutnya, anak lelakinya juga tidak dapat bekerja selepas turut menghidap angin ahmar dan kini menghidap penyakit darah pekat.

“Saya kena menagih bantuan menantu yang hanya bekerja sebagai pencuci pinggan.

“Saya tak tahulah selepas ini siapa lagi yang mahu bantu kerana sebelum ini kami belum pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Lokmah berkata, dia berterima kasih kepada wakil rakyat yang mengunjungi rumahnya bagi melihat sendiri keadaan dirinya.

Katanya, dia segan kerana pemimpin masyarakat itu sanggup melihat dirinya dan menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Adun Telok Datok, Loh Chee Heng berkata, beliau simpati dengan nasib yang menimpa keluarga tersebut.

Katanya, walaupun menantu Lokmah  boleh bekerja namun pendapatan mereka masih tidak mencukupi malah hidup dalam serba kekurangan.

“Saya sendiri sudah melihat keadaannya dan bersimpati. Untuk memudahkan pergerakan dan kegunaannya, sebuah kerusi roda turut disumbangkan.

“Selain itu, bantuan makanan kepada keluarga ini juga diberi bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sendiri akan memanjangkan masalah mereka kepada pihak berkenaan jika mereka belum menerima sebarang bentuk bantuan yang sepatutnya.

Katanya, masalah seumpama ini perlu didedahkan dan diberi perhatian supaya tiada keluarga yang tercicir daripada menerima bantuan kebajikan sekiranya layak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.