Selfie Peluk Anjing Tidak Termasuk Dalam Atur Cara – Syed Azmi

Kelana Jaya – Acara memeluk anjing dan mengambil gambar selfie bersama haiwan itu tidak termasuk dalam atur cara program I Want to Touch a Dog, kata penganjurnya, Syed Azmi Alhabshi.

Syed Azmi yang menyertai Debat Keterbukaan vs Sensitiviti Lazim: Di Mana Titik Tengah? malam kelmarin sekali lagi memohon maaf dan mengakui tidak menjaga sensitiviti sesetengah perkara semasa program itu dijalankan pada pertengahan bulan lalu.

Menurutnya, tujuan asal program itu amat jelas iaitu untuk pembelajaran kerana mahu membuang rasa takut pada anjing dan memupuk sifat belas kasihan terhadap haiwan seperti dituntut oleh Islam.

“Kita sudah garis beberapa panduan, apa yang perlu dilakukan, sebagai contoh memohon kebenaran pihak berwajib, memilih lokasi bersesuaian dan menampilkan panel-panel arif mengenai isu ini termasuk seorang ustaz.

“Namun ada perkara-perkara di luar kemampuan saya berlaku kerana kehadiran melebihi jangkaan, apabila yang mendaftar 300 orang tetapi lebih daripada 1,000 orang hadir,” katanya dalam forum anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) yang menjadi pusat penkaderan Pemuda Umno.

Dia yang berkongsi pentas bersama Exco Pemuda Umno Malaysia, Dr Fathul Bari Mat Jahaya itu beberapa kali memohon maaf sekiranya program anjurannya itu menggores hati rakyat Malaysia.

Syed Azmi berkata, pihak penganjur hanya mempunyai 40 orang sukarelawan yang bertugas dan tidak mampu mengawal setiap gerak geri peserta yang hadir.

“Kita jangka mereka ini takut anjing, macam saya. Pada permulaannya menggeletar. Tapi tak sangka, logik fikiran kita yang naif, lepas sentuh, timbul perasaan ‘syok’ kerana (anjing) sangat comel dan jinak, kemudian angkat dan peluk.

“Apatah lagi zaman media sosial hari ini, ramai ambil peluang itu untuk selfie dan muat naik gambar. Perkara keterlaluan itu lari daripada tujuan asal pembelajaran,” katanya.

Syed Azmi turut memberitahu, idea mengadakan program itu timbul selepas menonton video di YouTube mengisahkan orang buta yang berjalan bersama anjing dihalau dan diberi layanan buruk.

“Saya tanya diri saya, apakah saya akan bertindak berbeza, apakah saya akan menyelamatkan lelaki buta itu? Saya tidak tahu kerana saya takutkan anjing,” katanya.

Susulan itu, dia telah memuat naik satu status di laman Facebook yang menyatakan hasrat yang berbunyi ‘I want to touch a dog’ (saya mahu sentuh anjing) bagi mencari jawapan apa yang perlu dilakukan jika dia berdepan situasi seperti yang ditontonnya itu.

Katanya, tidak disangka statusnya itu mendapat perhatian ramai dan menerima sokongan daripada rakan untuk menganjurkan program yang tidak pernah diadakan sebelum ini di Malaysia.

Sementara itu, Fathul Bari dalam forum sama berkata, orang ramai tidak boleh cepat menjatuhkan hukum tanpa mengetahui punca sebenar sesuatu perkara berlaku.

“Kita bukan mahu menggalakkan program seumpama ini, pihak penganjur juga perlu lebih berhati-hati selepas ini.

“Namun untuk lain-lain di Facebook terutamanya, jangan cepat melatah sampai keluarkan ‘fatwa’ segera,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.