Penyokong, Penonton Piala Malaysia Diminta Tidak Timbulkan Kekecohan – Polis

Johor Bahru – Polis hari ini mengingatkan para penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang yang menonton perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil esok agar tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan langkah keselamatan ketat dan maksimum bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perlawanan akhir itu.

“Kita juga akan memantau dari segi maklumat-maklumat yang boleh menimbulkan atau membawa kepada masalah keselamatan semasa perlawanan akhir diadakan nanti,” kata beliau kepada pemberita ketika mengulas mengenai kawalan keselamatan sempena perlawanan akhir itu.

Mohamad Fuzi berkata bilangan anggota polis yang bertugas juga mencukupi, tidak termasuk anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang turut disediakan bagi memastikan tindakan segera boleh diambil sekiranya berlaku perkara-perkara yang mendesak.

“Kitapun dah bagi arahan-arahan khusus termasuk dari segi mengawal kemasukan penonton-penonton daripada kedua-dua belah pihak yang bertanding nanti agar tidak membawa contohnya senjata-senjata merbahaya dan bahan-bahan letupan seperti bunga api dan sebagainya,” kata beliau.

Terdahulu, Mohamad Fuzi yang juga Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Lesen Senjata Api Bukit Aman dan Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.