Kontraktor Harus Berani Ceburi Bidang Baharu – TPM

Kuala Lumpur – Kontraktor harus berani menghadapi risiko menceburkan diri dalam bidang atau pasaran baharu dan tidak bergantung kepada sektor pembinaan semata-mata, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kontraktor juga perlu mempelbagaikan perniagaan mereka dalam bidang seperti teknologi pertanian, petroleum dan gas, teknologi maklumat dan multimedia.

“Sebenarnya, peluang perniagaan di Malaysia amatlah luas. Kontraktor seharusnya tidak hanya menceburi bidang yang sudah diterokai ramai orang dan hendaklah lebih kreatif dan inovatif dalam menerokai bidang baharu.

“Setiap perkembangan dalam dunia perniagaan hendaklah diikuti dan diteliti oleh kontraktor agar peluang tersebut dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-35 dan majlis makan malam Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Muhyiddin berkata, kontraktor Melayu seharusnya memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran secukupnya supaya boleh ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi’ dengan kontraktor bangsa lain.

“Perjuangan kita belum selesai, masih banyak lagi usaha yang perlu dibuat dan dilipat-gandakan. Jika kita ingin maju dan dipandang tinggi, hendaklah kita menunjukkan bahawa kita berkeupayaan dan setanding dengan bangsa lain,” katanya.

Muhyiddin berkata, kontraktor juga perlu bersedia untuk bersaing dalam dunia perniagaan yang semakin sengit dan mencabar dengan mengutamakan disiplin diri dan menghayati amalan perniagaan yang beretika.

“Ahli PKMM seharusnya belajar daripada mereka yang telah berjaya dan mengambil iktibar daripada kegagalan. Kegagalan lampau harus dijadikan pengajaran atau panduan untuk lebih berjaya pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur negara telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan, terutama dalam sektor pembinaan.

Secara tidak langsung, ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu kontraktor, terutama kontraktor Melayu di negara ini, tegas Muhyiddin.

“Saya difahamkan bahawa Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) di bawah Kementerian Kerja Raya menyediakan beberapa program bagi membantu kontraktor Melayu dan Bumiputera seperti program padanan antara pengeluar dan pembekal bahan binaan dengan kontraktor.

“Program lain yang dianjurkan adalah Dasar Pengagihan Kerja kepada kontraktor Bumiputera Kelas E (G2) dan Kelas F (G1),” katanya.

Objektif program itu, katanya, adalah untuk memberi peluang kepada kontraktor kecil untuk bergiat aktif bersama kontraktor utama yang ditawarkan projek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.