Azmin Bagi Tempoh Sampai 31 Disember

Petaling Jaya  – Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memberi tempoh sehingga 31 Disember kepada semua PBT di negeri ini bagi menyelesaikan masalah kerosakan jalan yang berlaku di setiap kawasan.

Menurut Azmin, sejak memegang pentadbiran baru, beliau telah mengaturkan pertemuan bersama Yang Dipertua (YDP) serta Datuk Bandar di seluruh kawasan bagi membincangkan mengenai isu kerosakan jalan yang berlaku tersebut.

Beliau berkata, PBT seharusnya menggunakan wang rizab bagi menyelesaikan isu kerosakan jalan yang masih belum diselesaikan di beberapa kawasan seluruh negeri ini.

“Tak ada sebab kenapa jalan-jalan perlu berlubang dan sekiranya PBT tidak cukup peruntukan, boleh mohon pada kerajaan negeri untuk membantu,” katanya ketika Program Turun Padang Menteri Besar Selangor Ke Daerah Petaling yang dijalankan di Dewan Sivik MBPJ, semalam.

Sehingga kini, Azmin memaklumkan, kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah RM150 juta kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pejabat Daerah Petaling bagi melaksanakan penyelenggaraan jalan.

Jelas beliau, untuk tujuan itu, kerajaan negeri juga menerima peruntukan Marris sebanyak RM500 juta setahun daripada kerajaan pusat.

“Sebelum ini, peruntukan yang diberikan kerajaan pusat itu sebahagiannya disalur kepada PBT, manakala selebihnya untuk urusan lain.

“Namun memandangkan ia telah dikhaskan kepada penyelenggaraan jalan, semua peruntukan itu akan disalur kepada setiap PBT di negeri ini bermula tahun hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin turut memaklumkan antara faktor menyebabkan jalan sering rosak adalah aspek pemilihan kontraktor yang tidak menitik beratkan kualiti.

Katanya, pemilihan kontraktor harus dijalankan dengan bertanggungjawab berserta tender terbuka bagi membolehkan kualiti disampaikan memuaskan.

“Sekiranya kualiti jalan memuaskan, ia akan memberi kesan positif kepada rakyat dan isu ini harus diatasi dengan segera,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.