KUALA LUMPUR – Mengugut guru enggan divaksin untuk dipindahkan ke negeri lain yang akan menyusahkan kehidupan mereka dan keluarga pendekatan kurang berhemah dan autokratik,” kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hal ini bagi beliau seramai 2,000 guru masih enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 itu perlu dikendalikan dengan cermat dan bijaksana.

“Saya percaya masih ada banyak ruang serta peluang untuk memujuk dan meyakinkan guru terbabit supaya mengambil suntikan vaksin COVID-19.

“Saya berasa kurang selesa dengan tindakan mahu diambil KPM ke atas warga pendidik yang masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam catatan di Facebooknya.

Tegas Zahid, sebarang bentuk ugutan akan hanya membuat rakyat marah kepada parti politik yang menguasai kerajaan hari ini.

“Jangan cepat menilai guru terlibat daripada sudut Teori X. Kendali mereka pada kaca mata Teori Y. Ini “leadership” yang lebih harmoni.

“Jumlah 2,000 guru tidaklah terlalu banyak dan mungkin sudah semakin berkurangan ketika saya menulis ini.

“Sepatutnya mereka ini boleh diuruskan “case by case basis” oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Bukan melalui pendekatan pukul sama rata.

“Seperti pendekatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam isu 779 guru di Johor menolak suntikan vaksin Covid-19 baru-baru ini,” ujarnya.

Zahid menasihatkan bahawa guru ini perlu didekati dan difahami seorang demi seorang bagi mengetahui apakah punca sebenar mereka enggan divaksin.

“Adakah mereka sememangnya mempunyai alasan yang kukuh tentang risiko kesihatan diri untuk tidak mengambil vaksin tersebut?

“Jika benar begitu apa langkah terbaik untuk membantu mereka dapat terus berkhidmat kepada anak bangsa?

“Jika mereka tersalah faham mengenai risiko vaksin terhadap kesihatan diri, maka dapatkan pakar kesihatan untuk meyakinkan mereka. Andai mereka tersalah faham mengenai aspek hukum hakam, dapatkan bantuan ilmuan agama untuk menyedarkan mereka tentang hal sebenar,” kata Zahid.

Dalam pada itu, sekiranya mereka dipengaruhi teori konspirasi tentang COVID-19 dan vaksinasi, dapatkan pakar kaunseling yang boleh memperbetulkan persepsi mereka.

“Kesimpulannya perlu ada program khas untuk membantu para guru-guru kita ini. Jangan hilang keyakinan dan putus asa terhadap guru terbabit.

“Kita masih ada masa yang mencukupi untuk memujuk serta meyakinkan mereka kerana sesi persekolahan adalah secara berperingkat,” kata beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob