VIDEO: Zahid Ingatkan Akar Umbi Boleh Beri Teguran Tapi Berpada

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pimpinan akar umbi agar tidak menyuarakan isu dalaman parti secara terbuka.

Ujar Zahid, jika ada mana-mana pimpinan yang mahu memberi teguran atau bantahan, mereka boleh berjumpa terus dengannya kerana beliau sentiasa ‘membuka pintu’ untuk tujuan berkenaan.

“Sila datang ke pejabat saya dan berbincanglah. Kalau tujuannya untuk beri kritikan ikhlas, saya terima. Tapi kritikan mesti diikuti dengan saranan untuk tujuan pembaikan.

“Jangan bawa masalah bilik tidur ke tepi jalan depan rumah,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU2018) melabuhkan tirai malam tadi.

Bagaimanapun beliau berkata tiada tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang melontarkan kritikan.

“Saya setuju dengan timbalan presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) bahawa tiada tindakan diambil. Saya cuma minta mereka agar berhenti bantah (secara terbuka),” katanya lagi tanpa merujuk mana-mana pihak.

Semalam mantan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengkritik ucapan dasar Zahid dengan menyifatkan Presiden parti itu sebagai tidak membentangkan hala tuju parti secara jelas.

Khairy juga dilihat tidak senang dengan cadangan untuk bekerjasama dengan PAS ketika Zahid mengambil pendekatan terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain bagi membentuk ‘kerajaan perpaduan’.

Tindak tanduk Khairy dilihat lebih lantang dan kritikal selepas parti itu kalah mengejut pada PRU14 lalu. -SuaraTv

One thought on “VIDEO: Zahid Ingatkan Akar Umbi Boleh Beri Teguran Tapi Berpada

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.