PH Perlu Kawal Kemasukan Bekas Pemimpin UMNO

SHAH ALAM:Pakatan Harapan (PH) perlu mengawal kemasukan bekas pemimpin UMNO kerana ia dibimbangi akan mendatangkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Abbas Azmi berkata, ini kerana antara faktor kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu disebabkan rakyat menolak kepemimpinan kerajaan terdahulu yang dipalit pelbagai isu integriti.

“PH perlu memastikan kehadiran bekas pemimpin UMNO akan merancakkan lagi agenda PH, bukannya untuk kepentingan individu semata-mata.

“Perlu diingat rakyat memilih PH kerana percaya akan kredibiliti kepemimpinan kita,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Abbas berkata, penghijrahan beramai-ramai bekas pemimpin dan ahli UMNO selepas PRU-14 sememangnya sudah dijangka.

“Bagaimanapun kita tidak boleh menyekat bekas pemimpin UMNO untuk berhijrah kerana PH bersifat inklusif. Malah, sebahagian besar pemimpin PH adalah bekas UMNO.

“Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah bekas UMNO, tetapi mereka berhijrah dengan membawa prinsip perjuangan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selagi penghijrahan bekas pemimpin UMNO tidak merencatkan agenda rakyat, PH akan menerimanya secara positif.

“Perkara yang paling penting ialah mereka yang mahu bersama PH perlu memahami agenda perjuangan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman meninggalkan UMNO selepas tidak lagi menjadi kerajaan.

Turut keluar UMNO ialah Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Turut mengambil langkah sama ialah veteran UMNO Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee. – BERITA HARIAN

One thought on “PH Perlu Kawal Kemasukan Bekas Pemimpin UMNO

  • October 1, 2018 at 12:26 pm
    Permalink

    ahli biasa ok lah..yg tinggi jawatan tolak masuk gaung jer!! nanti jadi kurap panau kudis dlm PH… baik usah terima sbb perangai dia orang tk hilang sebati dlm darah..!!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.