Notis Merah Jho Low Adalah ‘Rahsia’

KUALA LUMPUR: Teka teki mengapa Notis Merah oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL) terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho tidak dipamer di laman sesawang umum badan penguatkuasa itu adalah kerana wujud arahan supaya mereka tidak berbuat begitu.

Ini berdasarkan satu dokumen bercetak mengandungi maklumat notis merah oleh INTERPOL terhadap Low Taek Jho atau Jho Low yang mula tersebar di media sosial, hari ini.

Jelas tertera pada dokumen bertulis ‘Fugitive Wanted For Prosecution’ dengan logo INTERPOL: Red Notice (Notis Merah) ‘tiada’ kebenaran bagi maklumat berkaitan notis terhadap Jho Low itu disebarkan kepada kepada umum.

“Circulation to the media (including internet) of the extract of the notice as published on INTERPOL’s public website: No,” tulisnya.

(Penyebaran kepada media (termasuk internet) berhubung isi kandungan notis seperti yang disiarkan dalam laman sesawang umum INTERPOL: Tiada)

Menerusi dokumen yang turut dimuat naik seorang pengguna Twitter menggunakan nama Chong Beng Lim semalam itu, tertera tarikh siaran notis berkenaan iaitu pada 11 Jun lalu dan dipercayai ia terhad untuk sebaran dan kegunaan dalaman pihak berkuasa negara yang ada jalinan dengan INTERPOL.

Bagaimanapun, INTERPOL menerusi laman sesawangnya menjelaskan walaupun sebahagian besar notis merah berstatus edaran terhad, ada negara yang membuat permintaan notis terhadap penjenayah yang dikehendaki di negara terbabit disiarkan kepada umum menerusi laman sesawang agensi antarabangsa berkenaan.

“Ini termasuk maklumat berkaitan nama dan tuduhan jenayah terhadapnya sehingga dia dikehendaki pihak berkuasa. Notis merah yang mengandungi maklumat lanjut hanya untuk kegunaan pihak berkuasa saja.,” katanya.

Menerusi dokumen yang tersebar itu juga, tertera gambar serta segala butiran peribadi Jho Low, antaranya nama keluarga, jantina, tarikh dan tempat lahir, kewarganegaraan, status perkahwinan, nama ibu dan bapanya, bahasa pertuturan serta negara yang kerap dilawatinya.

Terdapat juga senarai mengandungi nombor kad pengenalan, nombor pasport Malaysia serta pasport negara Saint Kitt and Nevis milik ahli perniagaan berusia 37 tahun itu.

Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri (Harry) Low Hock Peng, sekali gus membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama INTERPOL untuk mengeluarkan notis merah bagi mengesan serta menahan dua beranak itu pada 24 Ogos lalu

Jho Low dan bapanya dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, sebelum ini menjelaskan proses permohonan untuk menyenaraikan mana-mana individu di dalam notis INTERPOL bergantung kepada protokol pasukan itu dan ia memakan masa serta harus melalui proses teliti yang ditetapkan agensi antarabangsa berkenaan.

“Pihak Interpol juga akan menetapkan sama ada nama yang tersenarai akan dipaparkan untuk tatapan umum atau pihak berkuasa yang berkaitan saja.

“Diharap dengan penjelasan ini, tidak akan timbul lagi sebarang kekaburan yang boleh mewujudkan salah faham atau persepsi yang tidak benar berhubung tindakan yang sedang diambil pihak berkuasa ke atas Jho Low dan bapanya,” katanya.

One thought on “Notis Merah Jho Low Adalah ‘Rahsia’

  • October 2, 2018 at 10:47 am
    Permalink

    tk dpt lari punya..pasti terjerat jua..insyallah .amin. kita doa segeralah dpt cekup pengkhianat ni?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.