Keluarga Altantuya Gagal Masukkan Keterangan Kes Bunuh Dalam Saman RM100 Juta

SHAH ALAM: Keluarga model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu gagal untuk memasukkan keterangan dan penghakiman berhubung kes bunuh mendiang dalam saman RM100 juta mereka terhadap kerajaan Malaysia.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga mendiang Altantuya berkata, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menolak percubaan mereka memasukkan keterangan dalam kes bunuh itu atas alasan undang-undang melarang keterangan di sebuah mahkamah lain dimasukkan ke dalam prosiding mahkamah yang lain.

“Hakim memetik Seksyen 43 Akta Keterangan yang menyebut penghakiman atau pensabitan di sebuah mahkamah tidak boleh digunakan dalam prosiding berikutannya.

“Ringkasnya, kita perlu membuktikan pembunuhan itu sekali lagi,” katanya dipetik FMT.

Sangeet berkata, keluarga mendiang akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu minggu ini, dan menambah perbicaraan kes saman keluarga itu akan bermula 21 Januari tahun depan.

Ayah Altantuya, Shaariibuu Setev dan ibunya Altantsetseg Sanjaa serta anak mendiang memfailkan saman RM100 juta terhadap kerajaan Malaysia, pegawai polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri yang disabitkan kesalahan membunuh, serta penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

Keluarga itu mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya.

Mahkamah Tinggi pada 2009 mensabitkan Sirul dan Azilah atas tuduhan membunuh Altantuya. Bagaimanapun kedua-duanya berjaya membatalkan sabitan tersebut di Mahkamah Rayuan pada 2013.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan menjatuhi hukuman mati ke atas mereka berdua.

Sirul melarikan diri ke Australia dan kini ditahan di sebuah pusat tahanan di nwgara itu, manakala Azilah kini menunggu hukuman mati dijalankan ke atasnya di Penjara Kajang. Kedua-duanya tidak mencabar saman itu.

Peguam mereka menarik diri daripada tuntutan sivil tersebut, sementara Razak telah mendapatkan khidmat guaman bagi mencabarnya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.