“Dulu Pun Ahli PAS Ikut Saya Ke Kuil”, Anwar Selar Hadi

PORT DICKSON – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mempersoalkan kunjungannya ke rumah ibadat bukan Muslim ketika berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Malah Anwar berkata, ahli-ahli PAS juga pernah mengikutinya ke program yang diadakan di kuil ketika PKR dan PAS berada di dalam gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Dulu ketika saya pergi (kuil) semasa Pakatan Rakyat boleh pula. Sekarang tak boleh.

“Ahli PAS juga ikut saya (ke kuil) dulu,” katanya.

Anwar juga menambah, kehadirannya di rumah ibadat berkenaan atas sekadar kunjungan hormat dan tidak lebih daripada itu.

Katanya lagi, mengunjungi rumah ibadat bukan Muslim bukanlah sesuatu yang diharamkan dalam Islam, sebaliknya Islam mengajar penganutnya menghormati agama lain. 

“Bila saya melawat rumah ibadat, saya tak pergi tempat sembahyang ataupun ikut mereka sembahyang,” katanya lagi.

Malam tadi, Hadi yang hadir dalam Program Ceramah Perdana PAS di sini berkata Anwar tidak konsisten ketika berdepan pengundi pelbagai kaum dan agama.

Ujar Hadi, umat Islam sepatutnya lebih konsisten dengan pegangan agama mereka.

“Contohnya, tempat masjid dia jadi imam, tempat Benggali dia pakai cara Benggali, tempat Tamil dia menari Tamil.

“Kita ada budaya kita. Orang Tamil akan hormat kita kalau kita ada pendirian sendiri,” petik kata Hadi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.