Bekas Pemimpin UMNO Jangan Berlagak Seperti ‘Malaikat’

SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, mempersoalkan sikap bekas pemimpin parti itu yang berlagak seperti ‘malaikat’ berhubung isu sumber dana politik.

Beliau berkata, bekas pemimpin UMNO yang berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak sepatutnya mempertikaikan sumber dana yang diperoleh bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak serta kepada siapa ia disalurkan.

“Saya pelik tiba-tiba sekarang nak kaitkan UMNO terima dana haram. Kalau hendak persoal dari mana datangnya duit yang UMNO ada sekarang, kita kena persoal juga dari mana datangnya duit UMNO sejak 60 tahun lalu.

“Lainlah jika dana politik ini tidak turun ke akar umbi. Setahu saya, tidak ada dengar pula pemimpin serta ahli akar umbi mengeluh dana tidak sampai kepada mereka.

“Sejak berpuluh tahun lalu, adakah kita pernah bertanya kepada Presiden UMNO sumber dana ini? Saya berpendapat ia adalah amalan biasa semua parti politik dan adakah ahli mereka persoalkan sumber dana politik mereka?” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan Dr Mohamad Khir Toyo semalam yang kemungkinan UMNO akan diharamkan selepas parti itu dikatakan menerima RM20 juta wang haram yang dikaitkan dengan Najib, Muhammad yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata, ia hanya pandangan peribadi bekas pemimpin itu.

“Saya akui agak kecewa dengan sikap bekas pemimpin UMNO yang dilihat seperti sengaja mengheret UMNO dalam isu ini apabila mereka berkuasa.

“Kenapa sekarang tiba-tiba semuanya haram? Janganlah main-main isu halal haram ini. Seperti yang saya tegaskan sejak dulu sehingga sekarang, kita semua tidak pernah bertanya dari mana UMNO dapat dana untuk kelangsungan parti ini,” katanya.

Semalam, Dr Mohamad Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor berpendapat UMNO tidak perlu hala tuju baharu kerana ia bakal menjadi kenangan dan sejarah.

Beliau dalam status Facebook miliknya, berkata UMNO akan diharamkan seperti dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, UMNO akan diharamkan selepas Najib didakwa di mahkamah atas pertuduhan salah laku pengubahan wang haram yang turut membabitkan UMNO yang dikatakan menerima RM20 juta daripada wang terbabit.

Katanya, berdasarkan undang-undang, mana-mana pertubuhan yang menerima dana wang daripada sumber haram atau meragukan boleh diharamkan pertubuhannya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.