Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam sepatutnya lebih konsisten dengan pegangan agama mereka.

“Contohnya, tempat masjid dia jadi imam, tempat Benggali dia pakai cara Benggali, tempat Tamil dia menari Tamil.

“Kita ada budaya kita. Orang Tamil akan hormat kita kalau kita ada pendirian sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Ceramah Perdana Pas di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh; Pesuruhjaya Pas negeri, Mustaffa Daharun dan calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar.

Abdul Hadi turut mempersoalkan mengapa Anwar tidak memilih untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu seperti kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Sementara itu, beliau menghargai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018 hari ini yang menyokong slogan Pas untuk menjadikan Islam sebagai kuasa tertinggi.

“Kita harap membawa mesej supaya orang UMNO mengundi Pas,” jelasnya.

Pada masa sama, Abdul Hadi menafikan Pas pernah mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan UMNO berhubung PRK Parlimen Port Dickson.

“Kita bersendiri, bila UMNO tak bertanding, kita bertanding, bermakna tiada kerjasama dengam UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE