Angka Korban Gempa Bumi dan Tsunami Di Indonesia Lebih 800 Orang

PALU – Ang­ka korban akibat gempa bumi kuat dan tsunami di Pulau Sulawesi melambung kepada 832 orang semalam ketika orang ramai yang masih terkejut berdepan kesukaran untuk mencari makanan dan air, manakala kecurian semakin berleluasa.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla berkata, angka kematian muktamad mungkin mencecah ‘ribuan’ mangsa berikutan masih banyak kawasan yang belum dimasuki oleh pasukan penyelamat.

“Suasana kini amat tegang,” kata seorang ibu berumur 35 tahun, Risa Kusuma sambil menenangkan anak lelakinya yang mengalami demam di sebuah pusat pemindahan di bandar pesisir pantai, Palu.

“Setiap minit, ada sahaja ambulans membawa masuk mayat manusia. Air bersih pula sukar dicari. Pasar-pasar mini di­ceroboh merata-rata dan orang ramai melarikan barangan ke­perluan,” tambahnya.

Stesen televisyen Indonesia, Metro TV menyiarkan rakaman dari komuniti pinggir pantai di bandar Donggala, berhampiran pusat gempa, di mana rumah-rumah di tepi pantai musnah tetapi seorang penduduk setempat berkata, kebanyakan mereka sempat melarikan diri ke tempat tinggi selepas gempa bumi bermagnitud 7.5 itu berlaku.

“Kami semua lari ke atas bukit,” kata seorang lelaki yang dikenali sebagai Iswan kepada Metro TV.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih popular dengan panggilan Jokowi tiba di lokasi bencana tengah hari semalam untuk menyaksikan sendiri kemusnahan dahsyat yang berlaku.

Di bandar Palu semalam, bantuan mula mengalir masuk, askar Indonesia telah dikerahkan dan pekerja-pekerja penyelamat bertungkus lumus menggali serpihan untuk mencari mangsa masih hidup termasuk 150 orang yang tertimbus apabila sebuah hotel mewah di Palu runtuh.

“Kami berjaya mengeluarkan seorang wanita dalam keadaan masih hidup dari runtuhan Hotel Roa-Roa malam tadi (kelmarin),” kata ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Muhammad Syaugi.

“Kami amat memerlukan jentera berat untuk membersihkan runtuhan. Adalah mustahil untuk kakitangan saya menggunakan tulang empat kerat sahaja bagi melakukan kerja ini,” tambahnya.

Badan Nasional Pengurusan Bencana menyatakan bahawa kira-kira 17,000 orang telah dipindahkan setakat semalam, manakala angka itu dijangka meningkat dengan banyak. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.