Ahli Akar Umbi Yakin UMNO Miliki Kekuatan Bangkit Kembali

KUALA LUMPUR – Akar umbi percaya UMNO masih mempunyai kekuatan untuk kembali bangkit berdepan segala rintangan sekali gus menarik semula kepercayaan rakyat terhadap parti keramat orang Melayu itu.

Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria menyifatkan apa yang berlaku kepada parti ketika ini merupakan hikmah supaya setiap ahli tidak berasa selesa dan alpa dengan kekuasaan yang dimiliki.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit percaya UMNO mampu dan terus kukuh berdepan ujian pada masa depan supaya kembali bangkit.

“Rumah inilah yang memberi belaian dan kasih sayang selama lebih 60 tahun mentadbir negara, malah tempat penggantungan rakyat terutama orang Melayu.

“Saya yakin dan percaya ini merupakan ujian untuk kita terus bangkit supaya kita tidak berasa selesa atau riak dengan kuasa selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas mengenai harapan perwakilan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini, semalam.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Dr. Ab. Razak Kasbollah pula menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah meletakkan hala tuju yang cukup jelas dan perlu disambut de­ngan semangat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, kerja-kerja pemutihan juga perlu dilakukan secara berterusan supaya hanya ahli yang benar-benar setia de­ngan perjuangan UMNO kekal mendukung hasrat parti.

“Tidak mustahil untuk UMNO kembali bangkit, namun perlu disusuli dengan semangat perpaduan lebih tinggi agar kita akan lebih mantap,” ujar beliau.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Pulai, Azizah Selamat memberitahu, walaupun pertama kali bersidang dengan status pembangkang, namun aura parti itu masih kuat malah terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

“Gandingan generasi baharu dan lama penting untuk memastikan UMNO terus segar dan dapat memberikan nafas baharu kepada parti.

“UMNO perlu memikirkan cara untuk kembali berkuasa, mungkin jalannya agak mudah kerana rakyat sudah kecewa dengan cara pemerintahan Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bukit Gantang, Mohd. Adri Adha Mohamad menjelaskan, parti tersebut perlu bergerak secara efektif sebagai parti pembangkang terutama membabitkan kerjasama dengan Pas.

Jelasnya, apabila kerjasama dapat dikukuhkan, UMNO akan mampu keluar daripada krisis pasca kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ramai yang ingin lihat bagaimana UMNO menangani kekalahan dan itu boleh dibuat menerusi penyatuan UMNO dan Pas.

“Memang kita nak bergabung dengan Pas, tetapi kaedah dan bentuk hala tuju yang bagaimana yang ingin dibawa? Kalau itu dibuat, sudah pasti UMNO boleh berfungsi dengan lebih efektif sebagai parti pembangkang,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.