Tiga Suspek Kes Bunuh Dua Anggota TLDM Ditahan Reman

LUMUT – Tiga suspek kes bunuh dua Laskar Kelas 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit, Stesen Komunikasi TLDM di Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Oktober.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim membenarkan penahanan reman itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Ketiga-tiga suspek yang juga anggota TLDM itu direman bagi membantu siasatan berhubung kematian Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatuiman Mohd. Sukri, 26, selepas kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan semasa ditahan di bilik tahanan unit stesen tersebut.

Hasil bedah siasat pada pukul 11.30 malam tadi mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah disebabkan oleh pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.

Sehubungan itu, polis mengklasifikasi kejadian tersebut sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.