Sufi Tabah Lalui Dugaan

Selepas menjuarai program realiti Akademi Fantasia musim 2015, Mohammad Sufi Rashid, 26, berhadapan dengan kontroversi hingga menjejaskan kerjaya seni yang baru bertapak.

Antaranya sengketa dengan bekas bapa tiri yang membabitkan isu liwat, manakala ibunya menyifatkan dia seperti Malim Kundang.

Kini Sufi yang turut menyertai AF Megastar, sebaik mungkin cuba mengelak agar tidak terkait sebarang kontroversi yang boleh membawa kesan terhadap kerjaya seninya.

Bagaimanapun, sejauh mana dia cuba mengelak, perkara itu tetap berlaku. Apatah lagi ia ditimbulkan ahli keluarganya sendiri.

Berhadapan situasi sebegitu, kata Sufi, suka atau tidak dia harus menanganinya dan berusaha agar kontroversi terbabit tidak memburukkan lagi namanya serrta mereka yang terbabit.

Malah, katanya, banyak perkara yang dipelajari daripada kontroversi yang berlaku. Paling utama dia mula belajar bagaimana hendak menangani isu yang timbul dan mengajarnya untuk menjadi lebih matang.

“Saya tidak lagi seperti zaman remaja dulu apabila setiap kali ada isu yang cuba dikaitkan dengan diri, saya akan cepat melenting.

“Sekarang saya sebaik mungkin cuba menyelesaikan perselisihan faham yang timbul terutama dengan ibu dengan cara paling baik,” katanya.

Bagi Sufi, isu yang ditimbulkan ahli keluarganya itu adalah masalah dalaman keluarga dan tidak seharusnya diketahui umum. Bagaimanapun, katanya, perkara sudah berlaku mahu atau tidak dia sebagai anak harus menyelesaikannya.

“Alhamdulillah, masalah terbabit sudah lama diselesaikan,” katanya.

Dalam berhadapan dengan isu sensitif membabitkan hal peribadi, Sufi cuba untuk tidak memperbesar-besarkannya memandangkan ia datang tanpa diundang.

Berhadapan netizen yang memberi banyak komen negatif apabila timbul isu terbabit, kata Sufi, dia hanya mampu untuk menjelaskan kedudukan sebenar dan meminta mereka bertenang serta tidak marah-marah.

“Saya kalau boleh tidak mahu ada mana-mana pihak berang sehingga mengugut apabila timbul perkara membabitkan diri saya. Bagaimanapun, saya hanya boleh menasihat. Kalau mereka tidak mahu dengar, saya tidak boleh buat apa-apa.

“Dalam berhadapan situasi seperti itu, saya anggap ia sebagai satu dugaan. Begitupun, banyak perkara yang saya dapat belajar daripada isu yang ditimbulkan.

“Sebagai artis, kadang-kadang kita tidak boleh lari daripada kontroversi dan gosip. Saya belajar bagaimana hendak berhadapan dan menanganinya. Disebabkan itu juga saya tegaskan bahawa isu dikaitkan banyak mematangkan saya,” katanya.

Mengenai perkhabaran dia bakal melangsungkan pertunangan dengan seorang pramugari dikenali sebagai Ain pada Januari depan, Sufi mengakui hatinya sudah dimiliki.

Bagaimanapun, untuk menjelaskan mengenai isu bertunang baginya, perkara itu belum lagi disahkan.

“Saya mengharapkan semua pihak mendoakan yang terbaik untuk saya membabitkan soal jodoh. Ikutkan sebelum ini sudah beberapa kali cerita saya mahu bertunang sudah diperkatakan tetapi ia tidak berlaku.

“Ada baiknya perkara baik membabitkan perihal biarlah datang daripada mulut saya sendiri dan bukan orang lain. Percayalah, perkara baik pasti saya kongsi bersama teman media dan memaklumkannya menerusi laman sosial milik saya,” katanya.

Dalam program AF Megastar minggu lalu, Sufi berada pada kedudukan tiga paling bawah bersama Amir Jahari dan Ewal tetapi dia masih meneruskan perjuangan minggu ini, gara-gara Ewal diumumkan tersingkir.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.