Penganggur Dijel Lima Bulan Ceroboh Rumah Gadis

KUALA LUMPUR – Akibat menceroboh masuk ke dalam rumah seorang gadis, seorang penganggur dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, kelmarin.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Shahrizal Mohamad Setek, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah menceroboh rumah dengan memasuki ke dalam rumah Adik Widiyanti Kamaruddin, 22.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 27 Sept lepas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di rumah mangsa di Bandar Baru Ampang, di sini pada 2.30 pagi, 26 Sept lepas mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Adik Widiyanti telah terdengar neneknya menjerit sambil menolak pintu.

Dia kemudian melihat seorang lelaki terjun ke bawah melalui beranda rumahnya dan wanita itu mengesyaki lelaki berkenaan cuba memecah masuk rumahnya.

Adik Widiyanti kemudian mendapatkan rakaman kamera litar tertutup dari kedai runcit di bawah pangsapuri itu dan dapat mengecam tertuduh.

Dia telah menunjukkan gambar Mohamad Shahrizal kepada penduduk setempat yang memberitahu tertuduh berada di sebuah kafe siber di kawasan itu.

Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia menyara ibunya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman berat mengambil kira jika mangsa tidak menyedari kehadiran tertuduh di rumahnya, risiko lebih bahaya akan berlaku yang bukan sahaja membahayakan nyawa tetapi boleh menyebabkan kerugian harta benda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.