Jadi Pelawak Susah: Yassin

BEKAS anggota kumpulan Senario, Yassin Yahya mengakui bukan mudah untuk menjadi seorang pelawak.

Katanya, pelawak terutamanya yang bergerak secara solo perlu bijak mengawal situasi apabila berjenaka.

 

“Jika lawak itu tak dikawal, kita akan jadi over confident seterusnya buat orang menyampah. Kita juga tak mahu dilihat syok sendiri.

 

“Kalau berada dalam satu kumpulan, sekiranya berlaku kesilapan, akan ada ahli lain yang cuba cover up,

“Tapi jika secara solo, kita boleh tersalah langkah kalau tak fokus, itu yang menjadi masalahnya.,” katanya pada Media Hiburan.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana ada sesetengah pelawak kurang membuat rujukan tetapi sekadar memenuhi tugasan.

“Setiap pelawak ada pendirian masing-masing. Tapi, pelawak ini jarang mengkaji apa kemahuan mereka.

“Macam saya, saya lebih suka berfikir jauh dan melihat apakah kesannya,” katanya.

Pada masa sama, selebriti berusia 39 tahun ini menyambut baik kedatangan pelapis baru dalam industri lawak.

“Alhamdulillah, hari ini peluang dan penerimaan untuk pelapis muda dilihat semakin luas.

“Jika dulu, kita agak susah untuk menyerlah apatah lagi kehadiran pelawak tidak semeriah seperti hari ini.

Dalam pada itu, Yassin bersyukur masih menerima tawaran dalam bidang lakonan seperti biasa.

Bagaimanapun, bintang filem Keranda Tok Wan Terbang ini mengakui agak selektif dalam menerima tawaran kerana enggan bersikap stereotaip. “Kalau boleh, saya mahu elak daripada ambil watak yang sama saja. Saya mahu mencuba pelbagai watak.

“Biasanya saya akan membaca skrip terlebih dahulu sebelum menerima sesuatu tawaran,” katanya yang baru saja tamat menjalani penggambaran filem Sekolah HaHa.

Dalam perkembangan lain, Yassin bakal terlibat dalam Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di Padang Awam Batu Anam Segamat pada 6 hingga 15 Oktober depan.-SInar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.