Aziz M Osman Terima Menantu Lagi

“Syukur Alhamdulillah, saya terima seorang lagi menantu. Ini juga pengalaman kedua saya menikahkan anak sendiri,” kata pengarah Aziz M Osman, 54.

Pagi tadi jam 10.40 pagi Aziz selamat menikahkan anak perempuannya, Puteri Nur Asyiqin Aziz, 24, dengan anggota kumpulan nasyid Devotes, Adi Akmal Sehrom, 31, hanya sekali lafaz.

Puteri Nur Asyiqin adalah anak sulung Aziz bersama bekas isteri, Datin Nor Aliah Lee Abdullah.

Aziz akui sebagai bapa, tidak nafikan perasaan sebak di hatinya apabila hendak melepaskan anak kepada orang lain.

“Hubungan saya dan anak-anak sangat akrab kerana mereka insan kesayangan saya.

“Semoga Puteri Nur Asyiqin dapat memulakan perjalanan hidup sebagai isteri dengan baik selepas ini,” katanya.

Pada majlis yang berlangsung di kediaman ibu pengantin perempuan di Taman Tun Dr Ismail itu, Puteri Nur Asyiqin menerima mas kahwin RM300 berserta wang hantaran sebanyak RM15,000 termasuk tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Aziz dan Nor Aliah pernah berkahwin pada 19 Januari 1992 dan sah bercerai pada 2007 selepas 15 tahun hidup bersama.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Puteri Nur Asyiqin, Putera Nur Iman, 22, Puteri Nur Aisya, 18, dan Puteri Nur Ain, 14.

Aziz juga mempunyai seorang anak perempuan, Puteri Nurul Fatehah hasil perkahwinan pertama.

Kini Aziz bahagia bersama isterinya, Puteri Lily Lokman bersama seorang cahaya mata mereka, Puteri Nur Azzahra, 6.

Nor Aliah pula bertemu jodoh dengan Datuk Mohamad Zekri Ibrahim.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.