Alyah, Farawahida ‘Bersatu’ Dalam Lagu

ALYAH dan Farawahida, dua figura popular yang sudah pun mengumpul kelompok peminat tersendiri dalam industri seni tempatan. Sebelum muncul, penyanyi muda yang terlebih dahulu mencipta nama di platform media sosial, nama mereka terlebih dahulu mencipta reputasi membanggakan seiring kualiti vokal yang diakui ramai.

Lalu keunikan suara masingmasing memberi peluang terbaik buat dua nama ini untuk samasama ‘bersatu’ di dalam lagu.

 

Mengakui bukan tugas mudah dalam memberi komitmen terbaik terhadap proses merakamkan lagu duet berjudul Mengapa Harus Aku, namun baik Alyah dan Farawahida, masing-masing mahu memberikan yang terbaik buat peminat tersayang.

 

Dua bintang yang dilahirkan menerusi program realiti RTM ini optimis mengharapkan yang terbaik untuk Mengapa Harus Aku, apatah lagi ini merupakan percubaan pertama mereka berduet di kalangan penyanyi wanita.

Setakat ini, muzik video lagu tersebut yang turut menampilkan pelakon baru berbakat, Ikmal Amry dan Nadia Brian sebagai penampilan khas telah pun ditonton hampir 15,000 tontonan di YouTube sejak dimuat naik lebih seminggu lalu.

Cipta keserasian bersama

Mengapa Harus Aku ciptaan Alfie Alwi dan lirik ditulis Alyah sendiri merupakan single istimewa kerana buat pertama kali, isteri kepada maestro muzik Malaysia, Datuk Ramli MS ini bekerjasama dengan penyanyi wanita sebagai rakan duet.

Katanya, impian berduet dengan penyanyi wanita seangkatan sudah pun tercapai, apatah lagi dia turut mendapat reaksi baik dari Farawahida sendiri.

“Farawahida memberi kerjasama baik sepanjang proses rakaman lagu ini dan saya sejujurnya berbesar hati apabila dia bersetuju untuk berduet. Bukan senang sebab saya pun tahu akan komitmen lain yang perlu dipenuhinya. Terima kasih buat Farawahida dan saya memilihnya untuk menjadi rakan duet pun kerana suara kami punyai tone berbeza. Itulah yang membuatkan lagu ini lebih menarik sebab peminat akan dapat kenal pasti mana satu part kami,” akui Alyah yang nyata tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya.

“Ya. Saya memang gembira sebab seperti biasa, setiap kali lahir dengan single baru saya akan cuba terapkan kelainan. Kali ini, saya hadiahkan lagu duet buat peminat. Bagaimanapun, duet untuk lagu ini bukan bersama penyanyi lelaki, tetapi wanita.

“Terdahulu, saya sudah pun berduet penyanyi lelaki, Riz (AF6) menerusi lagu Ku Pinjam Satu Bintang. Alhamdulillah lagu tersebut menjadi siulan ramai. Selepas itulah, saya tanam impian untuk berduet dengan penyanyi wanita pula. Syukur setelah sekian lama, harapan itu akhirnya datang lalu lahirlah Mengapa Harus Aku,” terang Alyah sejurus majlis pelancaran single dan muzik video lagu berkenaan di Mydin USJ Mall, Subang Jaya baru-baru ini.

Punya makna tersendiri

Mengulas mengenai bait-bait lirik lagu tersebut, Alyah sejujurnya memberitahu, lirik tersebut bukanlah lahir daripada pengalaman sendiri. Sebaliknya, dia cuba menyelami perasaan wanita yang mempunyai konflik di dalam perhubungan.

“Saya sedar, bila buat lagu melibatkan perasaan, pasti akan ada persepsi ia ditulis berdasarkan pengalaman sendiri. Saya tidak nafikan itu sebab ia akan jadi lebih dekat dengan si penyanyi. Bagaimanapun, lirik Mengapa Harus Aku itu diilhamkan hasil perbincangan bersama Alfie yang sebelum ini pernah mencurah idea untuk lagu Sesal Separuh Nyawa.

“Kalau nak diikutkan, lagu tersebut pun berkisar masalah dalam perhubungan. Maknanya, saya cuba salami pengalaman hidup dan ‘kesakitan’ yang dialami wanita lain. Khasnya, kisah mereka yang hidup bermadu, bagaimana mereka disakiti dan kisah ini pun menjadi antara isu yang hangat diperkatakan,” akui Alyah yang turut menyeru pencinta muzik untuk melihat lagu tersebut dari sudut positif.

Tidak mahu memikirkan hal remeh-temeh apabila ada sesetengah netizen menganggap lagu tersebut mempunyai unsur kecurangan di dalam perhubungan, Alyah tetap teruskan komitmen dalam seni suara apabila bakal muncul sebuah lagi single baru.

Bagaimanapun, single tersebut akan dilancarkan secara berperingkat memandangkan Mengapa Harus Aku baru sahaja dilancarkan.

“Terdahulu, saya muncul dengan single berjudul Menunggu Bayangmu. Selepas Mengapa Harus Aku, saya akan muncul dengan sebuah lagi lagu baru, Jutaan Purnama. Lagu tersebut adalah ciptaan Hael Husaini dan jujurnya, saya tidak sabar untuk melihat reaksi terhadap lagu itu juga.

“Sebagai penyanyi independent, sudah tentunya saya harapkan yang terbaik untuk semua lagu dinyanyikan. Rasanya untuk fasa sekarang, melancarkan single demi single adalah yang terbaik daripada menerbitkan album penuh. Insya-ALLAH bila kena masanya nanti, saya akan hadiahkan peminat dengan album penuh. Doa-doakan ya,” sambungnya lagi.

Tiada istilah tumpang populariti

Sementara itu, Farawahida atau nama sebenarnya, Farawahida Razali turut menyambut baik pelawaan Alyah untuk merakamkan lagu duet bersamanya. Terang penyanyi yang sinonim dengan lagu Tanpamu ini, dia bersyukur apabila jadi sebahagian projek istimewa Alyah ini.

“Boleh dikatakan, semuanya berjalan baik, sejak Alyah hubungi pengurus saya untuk berbincang mengenai idea ini sehinggalah proses merakamkan lagu. Rasa syukurlah sebab walaupun dia ada senaraikan beberapa penyanyi lain, namun ia berpihak pada saya. Inilah yang dinamakan rezeki dan saya terimanya dengan hati terbuka. Harap peminat kami suka dengan lagu ini,” ujar Farawahida yang turut menafikan kolabirasinya bersama penyanyi popular itu adalah untuk menumpang populariti.

“Seperti diberitahu, pihak sana yang hubungi saya untuk berduet bersama. Bukan saya yang mencari. Jadi bila dapat peluang, saya okay saja dan mengapa tidak untuk melakukan duet. Kita sendiri pun jarang dengar lagu duet di kalangan penyanyi wanita.

Malah Alyah ada bertanya pendapat saya sepanjang proses rakaman berlangsung. Tiada istilah untuk tumpang populariti atau ‘perang vokal’ di di antara kami,” kata Farawahida yang turut menambah selepas ini dia akan muncul menerusi sebuah single solo tahun depan.-SInar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.