Saifuddin, Sertai Sajalah Pembangkang Jika Suka Sangat – Ku Nan

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dicadangkan untuk terus saja menyertai pembangkang jika beliau suka mereka sangat.

 

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Saifuddin sepatutnya terus saja menyertai pembangkang selepas mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak akan berhenti menyertai perbincangan mereka.

 

“Jika dia suka pembangkang, saya cadangkan dia sertai saja pembangkang.

 

“Jika dia berasa Barisan Nasional (BN) tidak bagus, dia boleh pergi ke mana saja yang dia suka tetapi jangan kekal sebagai ahli BN dan menjejaskan kami.

 

“Jika dia berasa pembangkang lebih baik, maka, dia boleh pergi. Saya mahu menasihatkan dia bahawa tidak ada kerajaan seperti BN yang mempunyai pelbagai bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

 

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Badan Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas mengenai Saifuddin, Ku Nan berkata: “Ia hanya satu pandangan.”

 

Megat dilaporkan berkata bahawa Saifuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of Moderates, tidak melakukan apa-apa kesalahan semata-mata menghadiri program berkenaan.

 

“Dia adalah sebahagian daripada panel badan disiplin dan sebagai Setiausaha Agung Umno, dia melakukan kesalahan dengan menyertai perbincangan itu,” kata Tengku Adnan.

 

“Berdasarkan perlembagaan parti, dia melakukan kesalahan, tetapi kami serahkan kepada badan disiplin untuk membuat keputusan.

 

“Saya tidak boleh mengambil tindakan ke atas Saifuddin seperti yang saya lakukan terhadap Anina Saadudin, kerana kes Anina jelas sekali melanggar perlembagaan parti. Bagi kes Saifuddin pula, saya serahkan kepada badan disiplin.”

 

Ku Nan berkata, dia tidak tahu hukuman yang dikenakan kepada Saifuddin jika badan disiplin mendapati beliau bersalah.

 

“Kita kena tunggu dan lihat apa keputusan badan disiplin dan semuanya bergantung kepada mereka.

 

“Kadangkala, mereka menasihatkan seseorang itu digantung dan ada juga masanya yang mereka pecat. Ia betul-betul bergantung kepada apa yang mereka putuskan dan kita serahkan kepada mereka.”

 

Tindakan Saifuddin menyertai perbincangan meja bulat pembangkang mendorong Tengku Adnan memberikan surat tunjuk sebab pada 22 September lalu, menuntut penjalasan terhadap tindakannya dalam tempoh 14 hari. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.