Resepsi Perkahwinan Anak Saya Tidak Guna Dana Awam – Zahid

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau tidak membelanjakan apa-apa wang atau mengeluarkan dana awam bagi resepsi perkahwinan anak lelakinya di Indonesia.

 

Ahmad Zahid berkata, resepsi itu dianjurkan besan beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan, selepas mengetahui beliau (Zahid) akan melakukan lawatan rasmi ke negara jiran itu dari 18 hingga 21 September lalu.

 

“Anak lelaki saya berkahwin dengan seorang gadis Indonesia di Kuala Lumpur sebelum itu. Kemudian, besan saya yang mendapat tahu tentang lawatan rasmi saya, menganjurkan resepsi bagi anak perempuannya pada petang 19 September.

 

“Saya tidak membelanjakan apa-apa wang dalam penganjuran resepsi perkahwinan itu, sebab ia bukan majlis saya. Ia (majlis) besan saya.

 

“Saya tidak menggunakan atau menyalahgunakan dana awam,” katanya ketika diminta mengulas komen seorang penulis blog, Shahbudin Husin mempersoalkan pengaturan masa lawatan rasmi Ahmad Zahid ke Indonesia yang kebetulan sama dengan resepsi itu.

 

Tambahnya, Shahbudin yang dikenalinya sejak 1987, sepatutnya berjumpa beliau untuk mendapatkan penjelasan, bukan mempersoalkannya secara terbuka.

 

Semalam, Shahbudin dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya untuk dirakam keterangannya berhubung tulisan dalam blognya itu.

 

Dia disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang meliputi penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

 

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, dan selanjutnya denda RM1,000 bagi setiap hari, apabila kesalahan itu terus dilakukan, selepas individu terbabit disabitkan kesalahan. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.