Gerakan, MCA Anggap DAP Dalang Sebar Sentimen Perkauman

DAP sewajarnya memohon maaf kepada orang ramai kerana menjadi dalang menyebarkan sentimen perkauman terutamanya di kalangan kaum Melayu dan Cina, lapor akhbar Berita Harian hari ini, memetik Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng.

 

Katanya, perkara itu dinyatakan berdasarkan gambar dan video yang dirakamkan sempena perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos, di mana katanya, DAP seolah-olah dilihat mengambil alih perhimpunan itu untuk agenda politiknya.

 

Liang mendakwa, pengikut DAP yang memakai baju kuning pada perhimpunan itu melakukan tindakan provokasi membangkitkan kemarahan rakyat di negara ini, termasuk dengan memijak gambar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

“Hadi adalah seorang ulama. Justeru, tindakan DAP itu mencetuskan api kemarahan dalam kalangan penyokongnya, termasuk masyarakat Melayu.

 
“Ia antara punca utama mengapa ketegangan kaum antara Melayu dan Cina di Malaysia sejak mutakhir ini semakin meruncing.

 

“DAP sewajarnya memohon maaf kepada orang ramai kerana menjadikan agama dan bangsa sebagai korban politik mereka,” beliau dipetik berkata akhbar itu pada satu sidang media semalam.

 

Dakwaannya itu turut disokong Ketua Biro Agama dan Harmoni MCA Datuk Seri Ti Lian Ker yang dilaporkan hadir pada sidang media sama.

 

Ti dipetik Berita Harian berkata, tindakan provokasi DAP ketika Bersih 4.0 itu menjadi punca kepada kaum Melayu mengadakan Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September, berikutan marah dengan insiden tersebut.

 

Beliau juga mendakwa, gara-gara tindakan provokasi itu jugalah peserta perhimpunan baju merah tersebut membawa kain rentang menggesa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dihapuskan.

 

“Kenapa peserta perhimpunan baju merah tidak membawa kain rentang yang menggesa supaya Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) dihapuskan, sebaliknya kemarahan mereka terarah kepada SJKC?

 

“Ini kerana DAP mencetuskan kemarahan masyarakat Melayu,” katanya sambil meminta DAP menghentikan propaganda politiknya menerusi tindakan bersifat cauvinis sebelum ketegangan kaum di Malaysia menjadi serius. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.